Monday, December 14, 2009

Guru Bukan Sekadar Mendidik

KEMENTERIAN Pelajaran Malaysia (KPM) ingin merujuk kepada surat dalam ruangan Forum, Utusan Malaysia 3 Disember 2009 bertajuk Fokus pada mengajar murid-murid, bukan buat kerja pentadbiran: Erti sebenar guru cemerlang.

Kenyataan 'Guru-guru baru hendaklah bersedia menerima sebarang tanggungjawab yang diberikan oleh pengetua atau guru besar mereka', adalah ucapan saya semasa perasmian konvensyen guru baru, IPGM yang berjumlah lebih daripada 500 orang di Putrajaya baru-baru ini.

Pada umumnya, profesion perguruan memerlukan komitmen yang tinggi daripada semua pendidik. Ini bagi memastikan generasi pewaris negara iaitu anak didik diberikan pendidikan yang tidak berbelah bagi.

Kenyataan pada 3 Disember 2009 tentang tugas profesional guru dan tugas pentadbiran masih boleh dipersoalkan. Sebenarnya tugas seperti menulis buku rekod mengajar, memeriksa buku latihan murid dan makluman kepada ibu bapa atau penjaga adalah sebahagian daripada tugas profesional guru.

Semua guru bertanggungjawab untuk mengenal pasti dan prihatin terhadap kemajuan dan kelemahan setiap anak didik mereka. Makluman ini bukan sahaja untuk pengetahuan guru bahkan untuk disampaikan kepada ibu bapa atau penjaga.Oleh itu, tugas yang dikatakan tugas perkeranian itu sebenarnya adalah sebahagian daripada tugas guru untuk mendidik setiap individu murid bagi mencapai objektif pendidikan.

Dalam melaksanakan tugas sebagai seorang pendidik, pengajaran dan pembelajaran (P&P) tidak hanya berlaku dalam bilik darjah. Malah guru perlu mempunyai kreativiti dan inisiatif untuk melaksanakan P&P melalui aktiviti di luar bilik darjah.

Seorang guru perlu berusaha untuk membentuk kemahiran berfikir kritis dan kreatif murid-murid belajar melalui pengalaman secara terus (kontektualisme dan konstruktivisme) seperti gerak kerja luar bilik darjah, lawatan sambil belajar dan aktiviti kemasyarakatan yang bersesuaian dengan keperluan murid. Usaha ini melibatkan pembentukan nilai-nilai murni, sahsiah, peribadi mulia serta kemahiran insaniah melalui aktiviti pasukan beruniform, kelab, sukan dan permainan serta lain-lain aktiviti luar darjah.

Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berhasrat untuk memperkasakan sukan dan permainan di sekolah bagi tujuan melahirkan atlet muda. Hal ini sudah tentulah memerlukan komitmen para guru sebagai orang di barisan hadapan untuk melatih dan mengenal pasti bakat murid-murid. Oleh itu, latihan sebegini merupakan juga tugas profesional seorang guru. Ini juga selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan iaitu untuk melahirkan murid yang seimbang dari segi intelek, jasmani, emosi dan rohani.

Seorang pentadbir sekolah perlu dilantik dalam kalangan profesional (guru) kerana berasaskan kepada pengetahuan dan pengalaman, pengetua atau guru besar berupaya untuk memastikan semua dasar yang berkaitan dengan pembangunan kemanusiaan dapat dilaksanakan selain daripada urusan pentadbiran yang biasa. Guru mempunyai kelebihan daripada aspek pengetahuan ilmu psikologi kanak-kanak atau remaja dan kepakaran dalam pedagogi. Maka semua guru sebagai seorang profesional perlu merebut peluang menimba pengalaman dengan melibatkan diri dalam pelbagai aktiviti sebagai langkah menyediakan diri untuk menjadi seorang pengurus dan pentadbiran profesional kelak. Berkaitan dengan pandangan Akmal Fairuz bahawa guru hanya memberi tumpuan kepada P&P di bilik darjah sahaja tidak begitu tepat. Pengurusan pendidikan dilaksanakan oleh orang profesional. Ini disebabkan mereka lebih arif dan berpengalaman mengenai perkara yang melibatkan pendidikan dan melahirkan modal insan. Tidak salah guru berpengalaman dilantik sebagai pentadbir seperti menjadi Pengetua atau Guru Besar, pegawai Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) atau Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) hinggalah ke peringkat kementerian. Ini juga menjadi amalan di kebanyakan negara maju. Adalah menjadi harapan saya, semua guru melaksanakan tanggungjawab dengan penuh dedikasi dan amanah bagi memartabatkan profesion perguruan dan meningkatkan kualiti perkhidmatan pendidikan yang diberikan kepada rakyat, selaras dengan gagasan 1 Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan'.

TAN SRI ALIMUDDIN MOHD. DOM
Ketua Pengarah Pelajaran

Friday, December 11, 2009

Polemik Tugas Guru

Pada awal Disember 2009 ini, runggutan guru terhadap tugas guru kerapkali tersiar di ruangan komen pembaca di akhbar-akhbar berbahasa melayu. Berikut adalah salah satu komen seorang guru.

Erti sebenar guru cemerlang

SAYA merujuk kepada kenyataan Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia, Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom, yang menyarankan agar guru-guru menerima sahaja tugasan yang diberi kerana ia akan membentuk sikap bertanggungjawab dan dedikasi kepada tugas sebagai pendidik.

Sebagai guru, saya percaya semua guru bersetuju dengan pandangan beliau. Pendedahan kepada pelbagai bidang tugas memang satu nilai tambah kepada modal insan guru.

Namun begitu, saya berpendapat, sebagai Ketua Pengarah Pelajaran, beliau patut sudah mengetahui tentang bebanan tugas guru yang sudah menyebabkan hampir 80 peratus guru hilang fokus, masa dan tenaga yang sepatutnya ditumpukan kepada tugasan sebenar, iaitu mengajar di dalam kelas. Perkara ini jika berlarutan, kalau ditambah bilangan guru 10 kali ganda pun, tapi kalau semuanya hendak buat kerja pentadbiran, memang tidak berubah keadaan sekolah-sekolah kita.

Inilah yang menimbulkan rungutan guru-guru. Apabila proses Pengajaran dan Pembelajaran (P&P) terganggu, murid ketinggalan dalam akademik dan menimbulkan masalah disiplin. Kemudian ibu bapa pula merungut. Padahal sebagai guru, kita sudah melakukan apa yang termampu dengan masa dan tenaga yang terhad.

Tugas perkeranian ini bukan sahaja sudah menyebabkan tumpuan kepada bidang akademik terganggu, malah ia telah mengelabui mata para pentadbir dalam bidang pendidikan juga, bermula dari pentadbir sekolah, sehinggalah ke peringkat jabatan pelajaran negeri-negeri.

Malah, pada pendapat saya, pelantikan Ketua Pengarah Pelajaran dari kalangan guru yang merupakan orang akademik (yang akhirnya terpaksa duduk di pejabat membuat tugasan pentadbiran) ialah bukti bagaimana fokus kepada akademik telah dilonggarkan, kerana tuntutan kerja-kerja pentadbiran. Bayangkanlah kalau seseorang pada tahap kematangan dan pengalaman yang ada pada Alimuddin, duduk di dalam kelas untuk mengajar. Beliau barangkali boleh menghasilkan beratus-ratus lagi anak bangsa yang bakal menyumbang kepada negara. Tapi akhirnya beliau diletakkan di pejabat.

Kenapa tidak kita berikan kerja pentadbiran kepada orang pentadbiran, dan kita orang akademik, buatlah kerja akademik. Kenapa guru yang sudah berpengalaman bertahun-tahun akhirnya disuruh membuat kerja pentadbiran? Bukankah pengalaman dan pengetahuan mereka boleh membantu lebih ramai murid menjadi cemerlang? Adakah menjadi orang akademik terhebat masih rendah tarafnya berbanding orang pentadbiran yang duduk di pejabat?

Lihatlah bagaimana pemberian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang, prestasi melintang (sudah tidak akan diamalkan lagi) pelantikan guru pakar, guru bestari dan guru cemerlang. Adakah mereka yang diberi semua penghargaan ini dilantik di kalangan guru yang anak murid mereka menunjukkan peningkatan prestasi akademik? Tidak!

Kebanyakan penerima anugerah dan pentadbir-pentadbir sekolah, pejabat pelajaran daerah dan jabatan pelajaran negeri dilantik di kalangan orang yang menonjol di bidang pentadbiran semata-mata. Sebab itulah kita lihat masih ada murid yang gagal subjek-subjek tertentu walaupun diajar oleh guru pakar, guru cemerlang dan guru bestari. Ini kerana yang ‘bestari’, ‘cemerlang’ dan ‘pakar’ ialah kerja pentadbiran guru itu, bukan teknik P&Pnya. Sekarang ini dengan peperiksaan PTK, guru yang malas masuk kelas pun boleh dapat kenaikan gaji dan pangkat.

Malah, saya sendiri pernah melihat seorang guru yang sangat konsisten. Guru ini setiap tahun (selama hampir 18 tahun) mencatatkan peratus lulus subjek Sains melebihi 95 peratus di semua kelas yang diajarnya, walau pun saban tahun mendapat kelas paling hujung, walaupun mengajar murid yang buta huruf, walaupun format peperiksaan kerap bertukar.

Beratus-ratus muridnya daripada tidak mengenal huruf, akhirnya mendapat A dalam subjek Sains SPM. Tetapi guru ini tidak pernah diberi Anugerah Perkhidmatan Cemerlang, hanya kerana guru ini tidak mempunyai hubungan baik dengan pentadbir sekolah yang hanya mementingkan kerja pentadbiran. Guru ini pula memang menolak kerja pentadbiran kerana kerja pentadbiran akan menyebabkan dia mengabaikan murid-muridnya, sesuatu yang guru ini enggan lakukan.

Bagi saya, sekalipun guru ini dilihat ‘melawan ketua’, tetapi komuniti kecil guru-guru dan murid-murid sekolah menyanjung dan menghormati guru ini kerana keberaniannya meletakkan fokus pada apa yang berhak, iaitu murid-murid. Guru ini juga tidak lokek membantu guru-guru muda dari segi memberi bimbingan tentang teknik P&P yang berkesan. Bagi guru muda seperti saya, inilah guru dalam erti kata sebenar.

Bagaimana boleh berlaku, dalam Kementerian Pelajaran Malaysia, guru yang pandai mengajar diketepikan berbanding guru yang hanya pandai menaip dan mengemas fail? Di manakah profesionalisme guru? Bagi saya, seorang guru itu profesional jika dia pandai mengajar kerana itulah sebenarnya tugas hakiki seorang guru. Tapi hari ini, guru yang membuat kerja yang betul tidak diberi penghargaan sepatutnya, dan guru yang tidak pandai mengajar pula yang diletakkan di tempat tinggi, diberi elaun, kuasa dan jawatan. Bagaimanakah guru-guru yang setiap hari berhempas-pulas dengan murid di dalam kelas hendak menghormati pentadbir mereka yang tidak pandai mengajar pun?

Malah, pentadbir itu pula yang akan duduk di belakang kelas menilai sama ada guru lain pandai mengajar atau tidak. Hanya kerana mereka pentadbir, mereka ada kuasa memberi markah. Tapi mereka menjadi pentadbir bukan kerana mereka pandai mengajar, tapi pandai membuat kerja lain selain mengajar. Bagaimanakah pentadbir sekolah seperti ini layak menuntut penghormatan daripada warga guru? Saya pernah melihat seorang pengetua sekolah yang diletakkan mengajar hanya dua waktu seminggu, terpaksa meminta guru lain mengambil alih kelasnya kerana dia terlalu kerap keluar dan tidak ada di sekolah.

Jika hari ini masyarakat melihat guru sebagai tidak professional, itu ialah kerana hampir semua guru terpaksa membuat kerja menaip dan mengemas fail, suatu kerja yang boleh dibuat oleh budak lepasan SPM.

Jika hari ini masyarakat melihat guru tidak berilmu, ia adalah kerana guru asyik mengisi borang, bukan mengisi dada dengan ilmu.

Kuala Lumpur

- UTUSAN MALAYSIA 3 DIS 2009 -


Persoalannya : Adakah anda bersetuju dengan pendapat penulis di atas?

Tuesday, December 1, 2009

Refleksi Sambil-Sambil Bercuti...

Guru dominasi pengajaran punca pelajar kurang kreatif
Oleh Rosniza Mohd Taha

AMALAN pengajaran dan pembelajaran (P&P) memfokus guru antara punca pelajar dihasilkan sistem pendidikan negara ini kurang memiliki kemahiran berfikir dan kreativiti.

Pengerusi Lembaga Penasihat Akademi Kepimpinan Pengajian Tinggi (AKEPT), Tan Sri Dr Wan Zahid Mohd Noordin, berkata guru mendominasi proses pembelajaran dalam kelas dengan lebih banyak bercakap berbanding menggalakkan interaksi dua hala dengan pelajar.

Beliau yang juga bekas Ketua Pengarah Pelajaran, berkata pendekatan itu secara tidak langsung menghasilkan kesan tidak diingini, iaitu pelajar beranggapan guru mahu mereka mendengar saja terlebih dulu dan hanya boleh bertanya soalan apabila disuruh.

Beliau berkata, pembelajaran sehala yang menjadi amalan sistem pendidikan negara sekian lama itu perlu diubah dan bukan salah guru sepenuhnya kerana mereka diletakkan dalam keadaan itu.

Keghairahan mendapat pengiktirafan sekolah terbaik, katanya, juga membuatkan guru berlumba menghabiskan sukatan pelajaran supaya ulang kaji dan latih tubi dapat dilaksanakan bagi memastikan pelajar mencapai sasaran keputusan cemerlang.

Sambil menjelaskan isu kelemahan kemahiran berfikir di kalangan pelajar termasuk yang mencapai keputusan cemerlang dalam peperiksaan sering diketengahkan tokoh pendidik dan wakil industri, beliau berkata:

“Malah keputusan Ujian Aptitud pertama diperkenalkan Kementerian Pelajaran bagi murid Tahun Enam ketika Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) tahun ini menunjukkan hanya 5.7 peratus mempunyai kemahiran menyelesaikan masalah dan membuat keputusan, manakala 34.34 peratus mempunyai kemahiran berfikir, mengesahkan lagi perkara ini.

“Pendekatan guru memonopoli pembelajaran dalam kelas dengan mereka saja yang banyak bercakap, malah mengedarkan salinan nota disediakan seolah-olah menyempitkan gaya pemikiran pelajar.

“Lebih parah apabila soalan pelajar tidak diendahkan, sekali gus tidak menggalakkan pemupukan kemahiran berfikir di kalangan pelajar.”

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucap utama bertajuk Learned Paralysis: The Unintended Consequences of the Classroom Process pada Persidangan Antarabangsa Pengajaran dan Pembelajaran Peringkat Pengajian Tinggi 2009 (ICTLHE09) di Kuala Lumpur, kelmarin.

Wan Zahid berkata, dalam memastikan pelajar meraih pencapaian cemerlang akademik, seharusnya pembangunan keseluruhan potensi mereka terutama kemahiran berfikir tidak dikorbankan.

Bagi memastikan perkara itu, katanya, peneraju kepemimpinan sesebuah institusi pendidikan termasuk guru besar dan naib canselor perlu memainkan peranan utama dengan mereka sendiri arif mengenai kaedah P&P berkesan.

Beliau turut memberi contoh kejayaan projek perintis dilaksana Kementerian Pelajaran pada pertengahan 1990-an dalam usaha menghasilkan perubahan dramatik pencapaian sebuah sekolah biasa hingga tersenarai antara sekolah terbaik peringkat kebangsaan.

Katanya, Sekolah Menengah Jalan Bayam, Kelantan pada masa itu hanyalah sekolah biasa, malah dilabel sebagai pusat longgokan pelajar dan guru bermasalah.

“Namun, dengan inisiatif dan kreativiti guru besarnya yang diberi autonomi penuh mentadbir dengan pendekatan tersendiri, sekolah itu berjaya menjadi antara terbaik selepas lima tahun program itu dijalankan.

“Antara pendekatan unik guru besar terbabit yang berjaya melonjak pencapaian sekolah adalah melaksanakan pembelajaran tanpa jadual kelas tetap.

“Selain itu, menggalakkan pelajar mendominasi proses pembelajaran dalam kelas, membabitkan mereka dalam proses penilaian guru serta menjadikan aktiviti kemasyarakatan dan sukan sebagai sebahagian program utama kokurikulum,” katanya.