Monday, March 30, 2009

Beberapa Kebetulan

Cerita 1
Seingat aku, sekitar tahun 1994 dulu, di suatu sudut café kolej Petronas dulu, aku pernah berdebat dengan seorang penyokong kuat Dato Seri Anwar Ibrahim (DSAI) bahawa DSAI akan menghadapi laluan sukar untuk menjawat jawatan PM. Sementara member aku ini terus berkeyakinan bahawa Anwar tetap akan menjadi PM memandang beliau merupakan TPM pada masa tersebut. Hujah aku senang sahaja. Berdasarkan pengalaman berkawan dengan orang UMNO, aku dapati orang-orang UMNO 'totok' sebenarnya tidak begitu sukakan Anwar, memandangkan beliau agak lain daripada orang UMNO yang lain. Lagi pula, beliau mendaki tangga kepimpinan dengan cepat dan agak mudah, lantaran budaya payung yang diamalkan oleh Tun Mahathir.

Tahun 1998, empat tahun selepas itu, ketika aku di Limbang, aku antara orang yang terperanjat sakan apabila DSAI dipecat oleh Tun Mahathir. Walaupun pernah memberi pandangan yang tidak berpihak kepada DSAI namun aku terperanjat dengan cara beliau dimalukan. Nampaknya, analisis aku tu betul. Satu kebetulan.

Cerita 2
Sebelum 8 Mac 2009 (PRU ke 12) yang lalu, aku pernah menyuarakan kepada beberapa orang rakan-rakan (penganalisis politik bakul sampah. Heh3) betapa aku mengharapkan dalam sepanjang aku hidup ini, aku ingin melihat negara ini di perintah oleh Pakatan Rakyat. perkara ini sebenarnya tidak berlaku. PR hanya berjaya mendapat 82 kerusi je (kalau tak silap). BN masih memerintah negara ini. Mungkin PRU ke 13 kot...
Dalam PRU ke 12 juga aku optimistik dan percaya cakap Tun Daim bahawa BN akan kalah di 4 negeri iaitu Perak, Kedah, Selangor dan Pulau Pinang. Hasilnya, cakap Tun Daim memang betul. Pakatan menang di negeri-negeri tersebut. Hasilnya, memang ia menjadi kenyataan.


Aku sebenarnya bukanlah anti BN, atau penyokong kuat parti pembangkang. Apa yang aku mahukan adalah negara ini dipimpin oleh individu atau parti yang berintegriti, telus, berdaya intelek dan pro rakyat. Memang bukan semua pemimpin BN tidak berintegriti tetapi kebanyakan mereka 'dipeti sejukkan' oleh ahli-ahli dalam Mesyuarat Agung. Lalu banyak keputusan yang dibuat oleh kerajaan seolah-olah (persepsi aku le) pro pihak peniaga dan banyak bersifat menganiaya rakyat. Ceritalah bab apa...penswastaan tol, air, elektrik, harga barang, harga kereta...semuanya mendera rakyat. Segala beban terpaksa ditanggung oleh pengguna akhirnya. Mungkin aku silap tentang ini tetapi inilah yang aku rasakan. Sebagai pemerintah, bagi aku, mereka harus melindungi pengguna yang merupakan rakyat terbanyak. Hujah seorang pemimpin, bahawa kerajaan lebih untung dengan menswastakan sesuatu projek kerana tidak perlu menanggung apa-apa kos, sebaliknya menerima pendapatan daripada cukai cukup merimaskan. Persoalannya, jika sesuatu projek diuruskan oleh kerajaan, mengapa tidak boleh untung? Adakah semua kakitangan kerajaan tidak cekap dan malas?

Dan apabila ada pihak mempunyai manifesto perjuangan yang pro rakyat, aku cukup tertarik. Harapan aku agar mereka akan mengotakan apa yang dikata. Di pihak BN, aku juga berharap agar mereka dapat mencari formula untuk membetulkan diri dan perjuangan.

Sebagai rakyat, aku tidak kira siapa yang memerintah. Yang penting kehidupan rakyat mesti aman dan sejahtera. Tanggungjawab kerajaan adalah untuk memelihara kesejahteraan hidup rakyat. Hanya orang yang hilang pedoman akan mula menjadikan slogan 'apa sumbangan anda kepada negara?' sebagai benteng mempertahankan diri. Hakikatnya....

Thursday, March 19, 2009

PTK 2009

Selamat menduduki peperiksaan PTK buat semua rakan-rakan yang terlibat. Ingat, peperiksaan inilah sebenarnya peperiksaan untuk kita. Dalam SPM atau STPM atau PMR, kita memperturunkan ilmu kat murid-murid, dan murid-murid tersebut yang berhadapan dengan peperiksaan tersebut. Kalau mereka dapat A, itu sebenarnya memang hak mereka. Kita dah dapat gaji, dan gaji tu memang dibayar untuk memandaikan mereka.

Namun PTK adalah peperiksaan kita. Kita diuji sama ada kita ni seorang guru yang berilmu, guru yang sedang tidur atau guru sombong bodoh. Kah! Kah! Pada aku kalau guru tu dapat 3,3 kira oklah. Dia seorang yang berilmu. Kalau dapat 4,4 sah dia memang guru hebat (berteori). Tapi kalau dapat kurang daripada itu? Sah, penyakit ujud dah menguasasi dia. Dia rasa dia hebat tapi dia tidak tahu apa kerja dia rupanya... Fikir-fikirkanlah....

Wednesday, March 11, 2009

Antara pengalaman dan Komitmen

Di suatu kursus yang aku hadiri di Tanjung Bidara Beach Resort, Tanjung Keling, Melaka, pada tahun 2007, seorang PPPD yang merasmikan kursus tersebut telah menyentuh perihal gelagat dan sikap guru-guru baru. Guru-guru baru ini dikatakan banyak cengkadak, mengada-gada, itu tak tahu, ini tak tahu, itu tak boleh buat, ini tak boleh buat, tidak kreatif, gagal mengawal kelas dan sebagainya. Aku menoleh ke arah beberapa orang guru baru yang turut menghadiri kursus tersebut. Aku lihat ada antara mereka buat tak tahu saja, malah ada yang tersenyum-senyum, seolah-olah mengiyakan tanggapan PPPD tersebut. Entahlah, mungkin jauh di sudut hati mereka, perasaan bengang dan bengkak membuak-buak.

Sekarang ini aku bertugas di salah sebuah sekolah transit. Aku katakan transit kerana kebanyakan guru tidak lama di sini, ia cuma jadi tempat persinggahan. Bila tiba masanya (setahun, dua tahun atau lima enam tahun) kebanyakan guru-guru di sini akan bertukar, sama ada mengikut suami, atau balik ke kampung atau negeri masing-masing kerana sudah sampai seru. Keadaan ini menyebabkan sekolah aku sentiasa mempunyai guru-guru baru yang ramai. Ini menyebabkan guru-guru yang tak berapa lamapun dah ramai terperasan dia guru lama. Heh! Heh!

Sebenarnya aku pernah melalui situasi sekolah seperti ini. Semasa mula-mula posting di Limbang Sarawak dahulu, situasi sekolah itupun sama seperti di sekolah ini sekarang. Yang berbeza, dulu aku adalah antara orang yang menjadikan sekolah itu transit, sementara sekarang orang lain yang melakukannya.

Bagi aku sama ada sudah lama atau tidak seseorang berkhidmat, ia bukanlah faktor paling penting untuk memastikan sesuatu tugas (terutamanya P&P) dapat dilaksanakan dengan cekap dan berkesan. Bagi aku pengalaman bukan boleh diukur dengan tempoh masa perkhidmatan. Bolehkah seorang guru yang lama, tapi mempunyai daya fikir yang usang, sentiasa menggunakan kaedah, pendekatan dan style yang sama dari mula hingga pencen dikatakan berpengalaman? Tentulah tidak. Ini kerana pengalaman berkait dengan pengetahuan yang diperolehi daripada praktikal @ amalan yang lepas.

“Kalau kita sentiasa mahu belajar, sentiasa mahu berguru dengan orang lama, sentiasa membaca dan kerap membuat refleksi kendiri, kita boleh menjadi guru yang berpengalaman dalam masa tidak sampai 3 tahun. Sebab apa? Tugas guru itu kebanyakannya rutin…sama je setiap tahun.” Nasihat Tok Din (Ustaz Nasarudin - housemate ketika mengajar di Limbang dulu, sekarang di Temerloh) ada benarnya. Memang kalau boleh, semua orang hendak guru yang berpengalaman mengajar. Hal ini kerana ramai percaya pengalaman itu akan membantu guru ‘memudahkan murid akan sesuatu yang sukar’.

Namun begitu, guru baru juga sebenarnya mempunyai kekuatan. Mereka mempunyai senjata lain yang sama kuat kesannya dengan pengalaman iaitu kuasa komitmen. Komitmen yang tinggi memang dituntut dalam menjayakan apa jua perancangan sekolah, jabatan dan kementerian. Tanpa komitmen, kejayaan sukar diraih. Mereka guru baru. Mereka masih muda, masih tidak mempunyai pelbagai tanggungjawab lain (anak-anak, isteri/suami dan penyakit), dan yang penting mereka masih belum banyak pengalaman yang mengecewakan dalam perkhidmatan mereka. Dalam kajian yang dijalankan oleh sebuah NGO pada 2001, berkaitan dengan komitmen guru mendapati pihak yang mempunyai komitmen tertinggi adalah Guru Sandaran Tidak Terlatih (bukan cikgu sebenarpun), diikuti oleh guru baru. (Cis, kajian tersebut memang nak menghina guru-guru lama kot?) Guru lama komitmen kurang? Bukan semua guru lama begitu (jangan kecil hati lak).

Sesungguhnya guru yang ideal perlu ada pengalaman dan komitmen. So, guru lama yang berpengalaman masih perlu mengekalkan komitmen. Sementara guru baru perlu mencari pengalaman dan meningkatkan komitmen.

“Jangan jadi guru hampas yang sudahlah tiada pengalaman, komitmenpun tarak!” Pesan Tok Din yang masih aku ingat.