Tuesday, October 27, 2009

Bola itu Bulat

Akhirnya...setelah kalah, kalah dan kalah...Liverpool menang jua. Ha macam tu le (jauh di sudut hati..hancur le peluang aku nak jadi Pengurus kelab tu. Kah3). Memang kemenangan 2-0 ke atas Man United dinanti-nantikan. Aku sebenarnya minat kelab ni sejak era Kenny Daglish lagi. Emm dah lama Liverpool tak dapat jadi juara liga Inggeris. Entahlah, musim ni aku fikir payah juga kelab ni nak jadi juara. Dah tiga kali kalah. Dari pengalaman lepas, aku fikir kelab ni boleh menang bila lawan pasukan kelab yang kuat, tapi bila berlawan dengan kelab kerdil...seri...seri..kalah. Tu yang fed up.

TQ Fernado Torres....dan Ngog...lain kali sumbat gol lagi. Lagi banyak lagi baik. Buat peminat MU, terimalah hakikat bahawa Ferguson kena beli lagi penyerang bertaraf dunia. Jangan simpan duit jual Ronaldo bawah bantal. Nak buat apa? Bukannya dia nak naik haji....

Monday, October 19, 2009

Apabila Kaki Buli Mahu Menjadi Juara Rakyat...

Apabila seorang Presiden sebuah parti dalam Perhimpunan Agung partinya menyeru semua pemimpin dan ahli mereka untuk menjadi Juara Rakyat, aku tersenyum sinis. Aku bukan tidak mahu mereka menjadi Juara Rakyat. Bagi aku bukan mereka saja, malah semua parti perlu dan mesti menjadi Juara Rakyat. Aku tersenyum kerana perkara ini agak kontra dengan amalan mereka selama ini. Dalam parti tersebut, aku fikir terdapat dua jenis golongan pemimpin iaitu yang pertama jenis pemimpin yang memang kaki buli rakyat, kedua pemimpin yang bukan kaki buli tetapi bersekongkol dengan kaki buli tersebut. Persoalannya bolehkah pemimpin yang sama, yang selama ini melalui dasar-dasar pemerintah dilihat menjadi kaki buli atau bersekongkol membuli rakyat, tetiba berubah menjadi juara rakyat? Kelakar kan?

Antara bukti yang nyata bahawa pemimpin dan parti tersebut pernah membuli rakyat adalah;

1. Membuli rakyat sendiri dengan menaikkan harga petroleum, walhal negara adalah pengeluar minyak. Hasilnya harga barang melambung tinggi, sedangkan kadar upah minimumpun ketaq nak tetapkan.

2. Membuli pembayar cukai dengan menggunakan wang mereka secara tiris, tidak telus, tidak berhemah dan membazir dalam melaksanakan program pembangunan.

3. Membuli rakyat sendiri dengan menangkap mereka tanpa bicara melalui ISA.

4. Membuli rakyat dan kerajaan Terengganu apabila mereka menarik balik royalti petroleum yang merupakan hak rakyat Terengganu.

5. Membuli anak-anak Melayu, Cina, India dan etnik lain dengan memperkenalkan PPSMI, dan menghapuskan bahasa Melayu.

6. Membuli pelajar sekolah agama dengan menarik peruntukan geran kepada Sekolah Agama Rakyat.

7. Membuli anak-anak kampung dan pedalaman dengan memperkenalkan meritrokrasi

8. Membuli pelajar universiti dengan memperkenalkan PTPTN dan mengurangkan biasiswa.

9. Membuli orang Melayu dengan mengadakan persempadanan semula pilihanraya pada 2002; yang mengurangkan kawasan majoriti orang Melayu.

10. Membuli rakyat Kelantan dengan menafikan hak royalti rakyat Kelantan.

11. Membuli rakyat Johor dengan mewujudkan Wilayah Iskandar yang menjadi zon bebas, maka orang-orang Singapura boleh masuk secara bebas ke sana.

12. Membuli usahawan Melayu dengan membubarkan Kementerian Pembangunan Usahawan yang menjadi sumber bantuan usahawan-usahawan Melayu.

13. Membuli orang-orang Melayu Bumiputera dengan memperkenalkan liberalisasi ekonomi, maka sekaligus menghapuskan Dasar Ekonomi Baru yang tujuannya membantu ekonomi orang-orang Melayu Bumiputra.

14. Di sesetengah tempat, mereka merobohkan masjid dan kampung setinggan seperti Peristiwa di Kampung Berembang.


Persoalannya, adakah mereka boleh berubah?? Aku fikir…boleh...Boleh blahhh! Bukan mudah membuang tabiat dan perangai buruk yang terbentuk berpuluh-puluh tahun. So, jika nak berubah dengan satu cara saja…semua berundur, serahkan kepimpinan kepada individu yang masih bersih atau sekurang-kurangnya kelihatan bersih. [P/s : Sdra KJ jangan perasan pula pasal ni.]

Nasib Guru Kanan : Lantak kau le Labi...

Pada 14 Oktober yang lalu, aku menghadiri Kursus Pemantapan Guru Kanan Negeri Johor di Kolej Kemahiran Tinggi MARA, Batu Pahat. Kali ini aku pergi bersama-sama dengan seorang Ketua Bidang daripada sekolah kedua aku dulu. Emm member baik juga le dulu (member minum cabut keluar kawasan sekolah). Sebenarnya, aspek yang dikursuskan adalah sama saja...berkaitan pengurusan kewangan, audit kurikulum, pengurusan fail, pencerapan dan penyeliaan guru, dan bidang tugas guru kanan. Emm kursus bertujuan untuk memantapkan lagi kemahiran guru-guru kanan, jadi aku layan sajalah.

Aku sebenarnya tiba ke tempat ceramah agak lewat kerana tempat tersebut tidak 'user friendly' - tiada sign board dan membuatkan kami tercari-cari. Whatever, apabila berdua, semuanya kami hadapi dengan cool. Di dalam dewan, kami terpaksa duduk di bahagian belakang. Emm lokasi strategik untuk keluar dari dewan tersebut. Whatever, kami tidaklah ambil kesempatan tersebut, cuma sesekali kami keluar sekadar melayan member-member lain, pergi ke tandas, atau mengambil angin.

Apabila masuk slot Audit Akademik @ Post Mortem Peperiksaan Percubaan SPM yang membuat aku sedikit terkedu. Subjek Perdagangan...ok. Prinsip Perakaunan...ok, Ekonomi Asas...ok, ERT...ok. Jeng jejeng...Dalam Subjek Sains Pertanian (calon lebih kurang 15 orang - semua lelaki), sekolah aku mendapat rangking tercorot dalam negeri Johor. Hah "Siapa Guru Kanan sekolah ni....sila angkat tangan." Aku buat-buat lawak, sebelah tangan diangkat, sementara sebelah tangan lagi menutup muka. Tahu malu juga aku rupanya. Orang lain ketawa. Cis, ada mata pelajaran yang akan ditutup nanti [he he he]. Emm lama pula slide (power point) tu terpancar di skrin...dan tidak ditukar (ke perasaan aku aje masa tu?) Orang lain ketawa. Takpe, nanti subjek lain...turn lu all pulak. Selepas itu...nasib baik selepas tu En Sahibul tak tanya...kenapa prestasi mata pelajaran tu teruk sangat, atau meminta aku menerangkan program peningkatan prestasi...dan sebagainya. Puas pula aku nak menjawab (Baca:kelentong). Sebaliknya beliau meminta aku dan guru kanan yang hadir tolong tengok-tengokkan subjek tersebut. "Masih ada masa." Kata beliau. Selamat aku daripada terpaksa menjawab persoalan-persoalan tersebut.

Sebenarnya, dalam peperiksaan SPM sebenar bagi mata pelajaran tersebut...sekolah aku tidaklah teruk sangat. Trend keputusan peperiksaan Pertengahan Tahun dan Percubaan tahun lepaspun macam tu juga. Bila result SPM sebenar keluar, walaupun tahun lepas merosot tetapi masih di atas 70%, pencapaian yang lebih baik daripada peringkat negeri dan negara. Dan aku berdoa keputusan sebenar nantipun lebih kurang begitu...

Emm nasib guru kanan....

Monday, October 12, 2009

Kemenangan Yang Tiada Makna

Apa maknanya kemenangan TS Isa dalam PRK Bagan Pinang semalam? Beliau berjaya mengalahkan calon Pas tewas dengan majoriti 5,435 undi. 11,157 pengundi atau 81.65 peratus daripada 13,664 pengundi keluar mengundi dan 223 undi rosak.

Bagi, pemimpin BN, kemenangan itu juga boleh dilihat sebagai;

1. Amat signifikan kepada BN, terutama ketika sedang berusaha memulihkan kepercayaan rakyat selepas kemerosotan sokongan pada pilihan raya umum 2008.

2. Kemenangan besar itu membuktikan kepercayaan pengundi Melayu, Cina dan India di DUN Bagan Pinang sudah kembali kepada BN.

3. Kemenangan ini menunjukkan rakyat sudah menerima konsep 1Malaysia yang diperkenalkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Timbalannya Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin?

4. Kemenangan ini disebabkan kemampuan BN menguruskan negara dengan berjaya.

Bagi aku...walau apa juga sebab kemenangan BN, dan punca kegagalan Pakatan Rakyat (PAS) di PRK tersebut dibicarakan namun aku fikir yang kalah sebenar-benarnya adalah RAKYAT MALAYSIA. Dalam dunia yang serba canggih ini, majoriti rakyat masih berlembut dan masih boleh mengangkat pemimpin yang terbukti terlibat dalam rasuah, atau politik wang sebagai wakil mereka. Bagaimana nak menjadi negara maju sekiranya rakyat tidak mementingkan kredibiliti dan integriti pemimpin? Nyatalah rakyat terbanyak (terutamanya di PRK tersebut) telah membuktikan bahawa mereka sudah semakin hilang kredibiliti dan integritinya. Kalau beginilah budaya masyarakat kita...bukan setakat Wawasan 2020, Wawasan 3030pun tak akan dapat dicapai....

Saturday, October 10, 2009

Kenaikan Harga Rokok : Satu Analisis [Yang Lewat]

Belumpun Bajet 2010 dibentangkan, harga rokok telah naik lagi. Ini menunjukkan cekapnya kerajaan dalam hal naik menaikkan harga barang. Kali ni naik 20 sen, setelah naik 20 sen beberapa bulan yang lalu. [Terror tak taktik ni - kalau naik sekaligus 40 sen, orang akan bising]. So, tahniah kepada para perokok yang telah bertungkus lumus memangkah dan memenangkan BN pada PRU yang lalu. Anda semua memang bagus...bagi juga undi kepada pihak ini. Seperti biasa kenaikan kali ini dirasionalkan kononnya ini adalah cara untuk menghapuskan atau mengurangkan bilangan perokok dalam negara. Teori ekonomi usang dan klasik yang menyebut langkah mengurangkan penggunaan sesuatu barangan dikaitkan dengan peningkatan cukai atau pengenaan kouta masih lagi menjadi amalan pengurusan ekonomi negara. Walhal, cara ini tidak pernah berhasil. Dalam kehidupan sebenar tiada cateris peribus (andaian faktor lain tak berubah - yang sebenarnya faktor faktor akan berubah juga). Benarkah harga rokok yang naik ini akan menyebabkan ramai perokok terkesina, melelehkan air mata keinsafan dan berhenti merokok? Entahlah...aku fikir tidak. Ramai yang berhenti membeli mungkinlah. Kalau adapun yang berhenti mungkin sedikit.

Pada aku kesan kenaikan harga rokok adalah seperti berikut;

1. Kerajaan dapat meningkatkan pendapatan. Jadi bolehlah mereka melancarkan projek-projek pembangunan. Dan projek-projek pembangunan ini akan diwar-warkan sebagai kejayaan parti mereka dalam setiap PRK atau pilihanraya umum akan datang. Itu sebab di sekolah kampung aku yang pelajarnya cuma lima enam puluh orang mendapat bangunan 3 tingkat yang baru. Begitu juga jalan ke felda tempat aku mengajar, sepanjang tahun kerja-kerja menurap jalan raya tidak pernah selesai.

2. Kerajaan dapat mendidik warga Malaysia supaya berjimat cermat. Bila harga rokok naik, perokok biasanya akan mengurangkan perbelanjaan yang bagi mereka 'kurang perlu' terutamanya membeli surat khabar, majalah, dan buku-buku, menjimatkan elektrik (pukul 9.00 malam dah tutup lampu - anak disuruh tidur awal, tak payah belajar), kurangkan tuisyen anak, dan kurangkan makanan tambahan (supplement) anak-anak. Sementara rokok tetap akan dibeli. So, nanti tak ramai le yang jadi cerdik pandai (tah kenapa bila dah cerdik mesti lawan kerajaan balik).

3. Kerajaan dapat menyediakan banyak peluang pekerjaan. Bila banyak dapat duit, maka bolehlah para kontraktor cari makan. Bila kontraktor (kebanyakannya orang kuat parti) boleh cari makan, kuranglah mereka merengek dengan wakil-wakil rakyat @ pemimpin parti mereka. So, telinga pemimpinpun tenang le sedikit. Barulah mereka boleh berfikir macam mana nak meningkatkan kekayaan mereka sekeluarga.

4. Kerajaan membantu perokok mengenali rokok saudara serumpun mereka di Indonesia. Dalam 10 orang yang aku jumpa, 6 atau 7 orang lebih suka menghisap rokok berjenama keretek, berbanding jenama Dunhill, Benson, Lucky Strike dan seanteronya. Ini baik untuk memelihara warisan rumpun Melayu.

5. Kesinambungan daripada perubahan citarasa pengguna kepada rokok keretek (terutamanya yang diseludup), membantu industri minyak wangi, fesyen pakaian dan ubat gigi. Penghisap rokok keretek lazimnya akan mendapat kesan sampingan segera, iaitu ketara baju mudah berlubang kecil, atau bau hapak badan akan meningkat.

6. Kerajaan mendidik rakyat Malaysia belajar cara menguruskan masalah dengan mudah dan berkesan (easy to solve problem). Kerajaan ajar kalau kita nak kekang sesuatu perkara yang tak baik, kita naikkan harganya. Kan ke senang caranya...nak buat apa fikir yang berat-berat, buat menambah gugur rambut Menteri. Bukannya gaji Menteri RM 1 juta sebulan, RM 60K atau 70K je, bukan banyak. Contohnya nak kurangkan orang hisap rokok, naikkan harga rokok. Nak kurangnya penggunaan gula dalam minuman (sebab kencing manis), naikkan harga gula. Nak kurangkan orang bermasalah berat badan (obesiti), naikkan harga ayam, telur, daging dan beras. Pendek kata...inilah sebab sebenar kerajaan sentiasa menaikkan harga barang. Niat mereka memang suci hati, cuma pembangkang yang buat-buat tak faham. Bising-bising di belakang.

So, jangan marah kat kerajaan. Walaupun mereka berpegang kepada teori ekonomi usang. Namun kena ingat...niat kerajaan tetap baik. Kerajaan boleh nak haramkan penjualan rokok tapi nanti pembangkang kata kerajaan zalimlah, kerajaan tidak menghormati hak-hak asasi manusialah. Kerajaan kita ni kerajaan yang baik, yang mengutamakan pencapaian, mendahulukan rakyat....so, terima aje le. Sebelum tu pihak kerajaan minta maaflah kalau ada yang marah. Jangan lupa undi kami lagi nanti tau...

Wednesday, October 7, 2009

Selamat Tinggal Be End

Sebenaqnya aku nak berpuasa dari menulis cerita politik sempena bulan Syawal ni, tapi apabila nama orang yang telah disabitkan dengan politik wang diumumkan oleh UMNO sebagai calon BN PRK Bagan Pinang, berderap jantung aku, bergetap bibir aku. Puharam aku telah ditipu dengan harapan palsu. Aku memang tahu ramai pemimpin parti keris ni banyak menipu dari cakap betul, tapi semenjak asyik memenangkan pihak PR dalam siri-siri PRK selepas tsunami Mac 2008, aku fikir mereka sudah berubah @ bertaubat. Badigol betul aku ni sebab masih terfikir yang baik-baik buat parti nan satu tu.

Pada aku pemilihan orang yang telah disabitkan dengan politik wang sebagai calon parti dalam PRK memberi makna begini...

1. Lantak pi atau pegi mampuslah dengan integriti dan kredibiliti calon. Yang penting calon mesti popular dan mesti boleh menang. (Kalau kalah padan muka kau).

2. Usaha dan slogan yang dikumandangkan di tv atau radio (kecuali di radioburuk 007 fm) oleh pemimpin parti tersebut untuk reformasi (depa segan nak guna istilah ni, depa guna istilah transformasi) semuanya tipu, dan sekadar retorik semata-mata. Sahih, sesiapa yang masih berharap parti tersebut akan berubah...anda bermimpi di siang hari. Sia-sia sahaja mereka berharap pemimpin depa akan berubah sekiranya masih dipimpin oleh kelompok yang sama (satu tong taik).

3. Kelemahan dalam sistem demokrasi tajaan barat, lebih-lebih lagi ala-ala Malaysia, kehendak ramai (kuantiti) akan menang walaupun menghasilkan impak yang tidak baik (tidak berkualiti). Maknanya kalau dalam masyarakat majoritinya penyamun (istilah Abdul Wahub kepada pak mentua, Siddiq Segaraga), dan mereka mahu melantik ketua penyamun sebagai ketua masyarakat, mereka akan menang. Orang yang bukan penyamun kena akur kepada masyarakat penyamun dan ketua penyamun, seterusnya yang lebih baik si bukan penyamun tadi jadilah penyamun sama.

4. Alasan dan hujah-hujah yang cuba merperbodohkan minda rakyat masih kerap digunakan oleh pemimpin parti tersebut untuk mempertahankan keputusan mereka. "Pemimpin yang terlibat dalam politik wang hanya melanggar peraturan parti, bukannya undang-undang negara." Pigi daa mangkuk. Budak kencing masih dalam pampers tahu rasuah dan politik wang tu sama. Yang nampak benda tu berbeza cuma SPRM saja. Begitu juga dengan alasan “Calon tersebut telah menerima hukuman…telah letak jawatan semua jawatan…sebagai Menteri dan semua jawatan dalam parti.” Cis, itu aje hukumannya, dua tiga tahun lepas tu boleh jadi Menteri atau Menteri Besar balik… banyak cantik. Logik ke hukuman macam tu, walhal kerosakan yang dibawa oleh pengamal politik wang bukan alang kepalang? Itu bukan hukuman, itu cuti-cuti Malaysia beb! Politik wang menyebabkan pemimpin yang tiada integriti, tiada kewibawaan, korup, bankrap idea, dan bangang boleh menjadi pemimpin dan mentadbir negeri atau negara. Bayangkan kalau pemimpin sebegini yang diharapkan untuk memajukan Malaysia…alamat jahanamlah negara, akan runtuhlah bangunan yang dibina satu demi satu, akan naiklah harga barang sehari demi sehari, akan tertindaslah rakyat terbanyak. Bagi pemimpin jenis ini...yang penting bagi mereka…pulus (duit) masyukkkk.

5. Ahli parti (yang aktif) tersebut sangat sayang dan masih memerlukan pengamal politik wang untuk memimpin mereka. Sah, poket depa dah nipis. Bagi mereka pemimpin yang mengamalkan politik wang tidak memudaratkan parti, masyarakat dan negara. Walhal, pemimpin yang rendah akhlak ini secara langsung akan sentiasa mendedahkan ahli-ahli masyarakat kepada bahaya dan kemudaratan. Pendek kata, kalau untuk naik berkuasa mereka sanggup menggunakan rasuah dan mengenepikan prinsip, kewibaan dan maruah diri, pasti mereka juga apabila berkuasa terdedah kepada penyelewengan, hatta bersekongkol dengan musuh negara untuk menjahanamkan negara yang tercinta ini. Perasuah tak akan dapat memberi rasuah jika tidak dapat rasuah. Dan hanya orang-orang yang berbudaya rasuah sanggup dipimpin oleh perasuah.

6. Masih terdapat pemimpin parti tersebut yang masih berlagak, angkuh dan tidak tahu insaf. Mereka bukan sahaja tidak insaf, malah berlakon kononnya diri pejuang parti yang baik. Mereka kononnya sanggup menerima hukuman dari parti tetapi masih setia pada parti. Dan perkara ini perlu dijadikan modal supaya mereka diberi penghargaan dengan memilih dia sebagai calon. Piraa. Inilah pelakon the best of the best di Malaysia masa ni. Sayangnya lakonan dia sama ada dari segi perbuatan atau percakapan hanya mungkin laku di Pulau Kum Kum atau di Kapit saja. Yang kelakarnya (tiba-tiba calon tersebut mahu berlakon filem komedi pula), dia mengaitkan pemimpin pembangkang dengan kelayakan dia untuk mmenjadi calon. DS Anwar Ibrahim, atau Lim Guan Eng, yang pernah dipenjara dijadikan modal betapa dia lebih baik dari mereka. Piraa. Rakyat yang celik informasi tahu cerita sebenar, dan faham sebab-sebab pemenjaraan tokoh-tokoh pmbangkang ini. Alasan “Kalau pemimpin pembangkang ada yang telah dipenjarakan, masih diterima dan menjadi MP, takkan saya tak boleh.” sangat memualkan. Bak kata sahabat aku..."Aku nasihatkan dia supaya tengok cermin lama-lama sikit. Jangan cuba perasan dia hero [dia bukan kategori hensem, kategori bantut ada le]." "Emm masihkah dia ingat semasa dia mentadbir dulu…negeri yang dia pimpin hampir digelar Negeri Pengeluar Babi Terbesar di… Apasal boleh jadi lagu tu…takkan sebab politik wang juga kot?" Bebel sahabat itu lagi.


7. Hayat parti tersebut dah semakin hampir ke kubur kerana golongan muda dan pengundi atas pagar (termasuk aku) sudah hilang sabar dan semakin mengelegak dari hari ke hari untuk mengajar mereka dalam PRU akan datang. Pedulikan pendapat penganalisis politik yang selalu memberikan dapatan yang merapu dan menipu apabila post mortem kekalahan parti itu dibicarakan…dari spesis botak sampai ke spesis yang selalu hilang pisau cukur untuk trim misai mereka. Kononnya parti itu kalah kerana rakyat terpedaya dengan dakyah pembangkang, atau kerana perpecahan parti itu sendiri. Hakikatnya parti itu ditolak kerana golongan muda, golongan atas pagar dan sebahagian golongan dalam parti tersebut sudah hilang kesabaran dan hilang kepercayaan kepada mereka. Kami hilang sabar dengan tingkah laku kebanyakan pemimpin mereka, kami hilang sabar dengan lagak dan ego pemimpin mereka, kami hilang sabar dengan banyak isu penyelewengan pemimpin mereka, kami hilang sabar dengan cara pemerintahan mereka yang mendera kami, kami hilang kepercayaan bahawa mereka boleh membawa kebajikan kepada kehidupan kami.