Monday, December 14, 2009

Guru Bukan Sekadar Mendidik

KEMENTERIAN Pelajaran Malaysia (KPM) ingin merujuk kepada surat dalam ruangan Forum, Utusan Malaysia 3 Disember 2009 bertajuk Fokus pada mengajar murid-murid, bukan buat kerja pentadbiran: Erti sebenar guru cemerlang.

Kenyataan 'Guru-guru baru hendaklah bersedia menerima sebarang tanggungjawab yang diberikan oleh pengetua atau guru besar mereka', adalah ucapan saya semasa perasmian konvensyen guru baru, IPGM yang berjumlah lebih daripada 500 orang di Putrajaya baru-baru ini.

Pada umumnya, profesion perguruan memerlukan komitmen yang tinggi daripada semua pendidik. Ini bagi memastikan generasi pewaris negara iaitu anak didik diberikan pendidikan yang tidak berbelah bagi.

Kenyataan pada 3 Disember 2009 tentang tugas profesional guru dan tugas pentadbiran masih boleh dipersoalkan. Sebenarnya tugas seperti menulis buku rekod mengajar, memeriksa buku latihan murid dan makluman kepada ibu bapa atau penjaga adalah sebahagian daripada tugas profesional guru.

Semua guru bertanggungjawab untuk mengenal pasti dan prihatin terhadap kemajuan dan kelemahan setiap anak didik mereka. Makluman ini bukan sahaja untuk pengetahuan guru bahkan untuk disampaikan kepada ibu bapa atau penjaga.Oleh itu, tugas yang dikatakan tugas perkeranian itu sebenarnya adalah sebahagian daripada tugas guru untuk mendidik setiap individu murid bagi mencapai objektif pendidikan.

Dalam melaksanakan tugas sebagai seorang pendidik, pengajaran dan pembelajaran (P&P) tidak hanya berlaku dalam bilik darjah. Malah guru perlu mempunyai kreativiti dan inisiatif untuk melaksanakan P&P melalui aktiviti di luar bilik darjah.

Seorang guru perlu berusaha untuk membentuk kemahiran berfikir kritis dan kreatif murid-murid belajar melalui pengalaman secara terus (kontektualisme dan konstruktivisme) seperti gerak kerja luar bilik darjah, lawatan sambil belajar dan aktiviti kemasyarakatan yang bersesuaian dengan keperluan murid. Usaha ini melibatkan pembentukan nilai-nilai murni, sahsiah, peribadi mulia serta kemahiran insaniah melalui aktiviti pasukan beruniform, kelab, sukan dan permainan serta lain-lain aktiviti luar darjah.

Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berhasrat untuk memperkasakan sukan dan permainan di sekolah bagi tujuan melahirkan atlet muda. Hal ini sudah tentulah memerlukan komitmen para guru sebagai orang di barisan hadapan untuk melatih dan mengenal pasti bakat murid-murid. Oleh itu, latihan sebegini merupakan juga tugas profesional seorang guru. Ini juga selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan iaitu untuk melahirkan murid yang seimbang dari segi intelek, jasmani, emosi dan rohani.

Seorang pentadbir sekolah perlu dilantik dalam kalangan profesional (guru) kerana berasaskan kepada pengetahuan dan pengalaman, pengetua atau guru besar berupaya untuk memastikan semua dasar yang berkaitan dengan pembangunan kemanusiaan dapat dilaksanakan selain daripada urusan pentadbiran yang biasa. Guru mempunyai kelebihan daripada aspek pengetahuan ilmu psikologi kanak-kanak atau remaja dan kepakaran dalam pedagogi. Maka semua guru sebagai seorang profesional perlu merebut peluang menimba pengalaman dengan melibatkan diri dalam pelbagai aktiviti sebagai langkah menyediakan diri untuk menjadi seorang pengurus dan pentadbiran profesional kelak. Berkaitan dengan pandangan Akmal Fairuz bahawa guru hanya memberi tumpuan kepada P&P di bilik darjah sahaja tidak begitu tepat. Pengurusan pendidikan dilaksanakan oleh orang profesional. Ini disebabkan mereka lebih arif dan berpengalaman mengenai perkara yang melibatkan pendidikan dan melahirkan modal insan. Tidak salah guru berpengalaman dilantik sebagai pentadbir seperti menjadi Pengetua atau Guru Besar, pegawai Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) atau Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) hinggalah ke peringkat kementerian. Ini juga menjadi amalan di kebanyakan negara maju. Adalah menjadi harapan saya, semua guru melaksanakan tanggungjawab dengan penuh dedikasi dan amanah bagi memartabatkan profesion perguruan dan meningkatkan kualiti perkhidmatan pendidikan yang diberikan kepada rakyat, selaras dengan gagasan 1 Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan'.

TAN SRI ALIMUDDIN MOHD. DOM
Ketua Pengarah Pelajaran

Friday, December 11, 2009

Polemik Tugas Guru

Pada awal Disember 2009 ini, runggutan guru terhadap tugas guru kerapkali tersiar di ruangan komen pembaca di akhbar-akhbar berbahasa melayu. Berikut adalah salah satu komen seorang guru.

Erti sebenar guru cemerlang

SAYA merujuk kepada kenyataan Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia, Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom, yang menyarankan agar guru-guru menerima sahaja tugasan yang diberi kerana ia akan membentuk sikap bertanggungjawab dan dedikasi kepada tugas sebagai pendidik.

Sebagai guru, saya percaya semua guru bersetuju dengan pandangan beliau. Pendedahan kepada pelbagai bidang tugas memang satu nilai tambah kepada modal insan guru.

Namun begitu, saya berpendapat, sebagai Ketua Pengarah Pelajaran, beliau patut sudah mengetahui tentang bebanan tugas guru yang sudah menyebabkan hampir 80 peratus guru hilang fokus, masa dan tenaga yang sepatutnya ditumpukan kepada tugasan sebenar, iaitu mengajar di dalam kelas. Perkara ini jika berlarutan, kalau ditambah bilangan guru 10 kali ganda pun, tapi kalau semuanya hendak buat kerja pentadbiran, memang tidak berubah keadaan sekolah-sekolah kita.

Inilah yang menimbulkan rungutan guru-guru. Apabila proses Pengajaran dan Pembelajaran (P&P) terganggu, murid ketinggalan dalam akademik dan menimbulkan masalah disiplin. Kemudian ibu bapa pula merungut. Padahal sebagai guru, kita sudah melakukan apa yang termampu dengan masa dan tenaga yang terhad.

Tugas perkeranian ini bukan sahaja sudah menyebabkan tumpuan kepada bidang akademik terganggu, malah ia telah mengelabui mata para pentadbir dalam bidang pendidikan juga, bermula dari pentadbir sekolah, sehinggalah ke peringkat jabatan pelajaran negeri-negeri.

Malah, pada pendapat saya, pelantikan Ketua Pengarah Pelajaran dari kalangan guru yang merupakan orang akademik (yang akhirnya terpaksa duduk di pejabat membuat tugasan pentadbiran) ialah bukti bagaimana fokus kepada akademik telah dilonggarkan, kerana tuntutan kerja-kerja pentadbiran. Bayangkanlah kalau seseorang pada tahap kematangan dan pengalaman yang ada pada Alimuddin, duduk di dalam kelas untuk mengajar. Beliau barangkali boleh menghasilkan beratus-ratus lagi anak bangsa yang bakal menyumbang kepada negara. Tapi akhirnya beliau diletakkan di pejabat.

Kenapa tidak kita berikan kerja pentadbiran kepada orang pentadbiran, dan kita orang akademik, buatlah kerja akademik. Kenapa guru yang sudah berpengalaman bertahun-tahun akhirnya disuruh membuat kerja pentadbiran? Bukankah pengalaman dan pengetahuan mereka boleh membantu lebih ramai murid menjadi cemerlang? Adakah menjadi orang akademik terhebat masih rendah tarafnya berbanding orang pentadbiran yang duduk di pejabat?

Lihatlah bagaimana pemberian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang, prestasi melintang (sudah tidak akan diamalkan lagi) pelantikan guru pakar, guru bestari dan guru cemerlang. Adakah mereka yang diberi semua penghargaan ini dilantik di kalangan guru yang anak murid mereka menunjukkan peningkatan prestasi akademik? Tidak!

Kebanyakan penerima anugerah dan pentadbir-pentadbir sekolah, pejabat pelajaran daerah dan jabatan pelajaran negeri dilantik di kalangan orang yang menonjol di bidang pentadbiran semata-mata. Sebab itulah kita lihat masih ada murid yang gagal subjek-subjek tertentu walaupun diajar oleh guru pakar, guru cemerlang dan guru bestari. Ini kerana yang ‘bestari’, ‘cemerlang’ dan ‘pakar’ ialah kerja pentadbiran guru itu, bukan teknik P&Pnya. Sekarang ini dengan peperiksaan PTK, guru yang malas masuk kelas pun boleh dapat kenaikan gaji dan pangkat.

Malah, saya sendiri pernah melihat seorang guru yang sangat konsisten. Guru ini setiap tahun (selama hampir 18 tahun) mencatatkan peratus lulus subjek Sains melebihi 95 peratus di semua kelas yang diajarnya, walau pun saban tahun mendapat kelas paling hujung, walaupun mengajar murid yang buta huruf, walaupun format peperiksaan kerap bertukar.

Beratus-ratus muridnya daripada tidak mengenal huruf, akhirnya mendapat A dalam subjek Sains SPM. Tetapi guru ini tidak pernah diberi Anugerah Perkhidmatan Cemerlang, hanya kerana guru ini tidak mempunyai hubungan baik dengan pentadbir sekolah yang hanya mementingkan kerja pentadbiran. Guru ini pula memang menolak kerja pentadbiran kerana kerja pentadbiran akan menyebabkan dia mengabaikan murid-muridnya, sesuatu yang guru ini enggan lakukan.

Bagi saya, sekalipun guru ini dilihat ‘melawan ketua’, tetapi komuniti kecil guru-guru dan murid-murid sekolah menyanjung dan menghormati guru ini kerana keberaniannya meletakkan fokus pada apa yang berhak, iaitu murid-murid. Guru ini juga tidak lokek membantu guru-guru muda dari segi memberi bimbingan tentang teknik P&P yang berkesan. Bagi guru muda seperti saya, inilah guru dalam erti kata sebenar.

Bagaimana boleh berlaku, dalam Kementerian Pelajaran Malaysia, guru yang pandai mengajar diketepikan berbanding guru yang hanya pandai menaip dan mengemas fail? Di manakah profesionalisme guru? Bagi saya, seorang guru itu profesional jika dia pandai mengajar kerana itulah sebenarnya tugas hakiki seorang guru. Tapi hari ini, guru yang membuat kerja yang betul tidak diberi penghargaan sepatutnya, dan guru yang tidak pandai mengajar pula yang diletakkan di tempat tinggi, diberi elaun, kuasa dan jawatan. Bagaimanakah guru-guru yang setiap hari berhempas-pulas dengan murid di dalam kelas hendak menghormati pentadbir mereka yang tidak pandai mengajar pun?

Malah, pentadbir itu pula yang akan duduk di belakang kelas menilai sama ada guru lain pandai mengajar atau tidak. Hanya kerana mereka pentadbir, mereka ada kuasa memberi markah. Tapi mereka menjadi pentadbir bukan kerana mereka pandai mengajar, tapi pandai membuat kerja lain selain mengajar. Bagaimanakah pentadbir sekolah seperti ini layak menuntut penghormatan daripada warga guru? Saya pernah melihat seorang pengetua sekolah yang diletakkan mengajar hanya dua waktu seminggu, terpaksa meminta guru lain mengambil alih kelasnya kerana dia terlalu kerap keluar dan tidak ada di sekolah.

Jika hari ini masyarakat melihat guru sebagai tidak professional, itu ialah kerana hampir semua guru terpaksa membuat kerja menaip dan mengemas fail, suatu kerja yang boleh dibuat oleh budak lepasan SPM.

Jika hari ini masyarakat melihat guru tidak berilmu, ia adalah kerana guru asyik mengisi borang, bukan mengisi dada dengan ilmu.

Kuala Lumpur

- UTUSAN MALAYSIA 3 DIS 2009 -


Persoalannya : Adakah anda bersetuju dengan pendapat penulis di atas?

Tuesday, December 1, 2009

Refleksi Sambil-Sambil Bercuti...

Guru dominasi pengajaran punca pelajar kurang kreatif
Oleh Rosniza Mohd Taha

AMALAN pengajaran dan pembelajaran (P&P) memfokus guru antara punca pelajar dihasilkan sistem pendidikan negara ini kurang memiliki kemahiran berfikir dan kreativiti.

Pengerusi Lembaga Penasihat Akademi Kepimpinan Pengajian Tinggi (AKEPT), Tan Sri Dr Wan Zahid Mohd Noordin, berkata guru mendominasi proses pembelajaran dalam kelas dengan lebih banyak bercakap berbanding menggalakkan interaksi dua hala dengan pelajar.

Beliau yang juga bekas Ketua Pengarah Pelajaran, berkata pendekatan itu secara tidak langsung menghasilkan kesan tidak diingini, iaitu pelajar beranggapan guru mahu mereka mendengar saja terlebih dulu dan hanya boleh bertanya soalan apabila disuruh.

Beliau berkata, pembelajaran sehala yang menjadi amalan sistem pendidikan negara sekian lama itu perlu diubah dan bukan salah guru sepenuhnya kerana mereka diletakkan dalam keadaan itu.

Keghairahan mendapat pengiktirafan sekolah terbaik, katanya, juga membuatkan guru berlumba menghabiskan sukatan pelajaran supaya ulang kaji dan latih tubi dapat dilaksanakan bagi memastikan pelajar mencapai sasaran keputusan cemerlang.

Sambil menjelaskan isu kelemahan kemahiran berfikir di kalangan pelajar termasuk yang mencapai keputusan cemerlang dalam peperiksaan sering diketengahkan tokoh pendidik dan wakil industri, beliau berkata:

“Malah keputusan Ujian Aptitud pertama diperkenalkan Kementerian Pelajaran bagi murid Tahun Enam ketika Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) tahun ini menunjukkan hanya 5.7 peratus mempunyai kemahiran menyelesaikan masalah dan membuat keputusan, manakala 34.34 peratus mempunyai kemahiran berfikir, mengesahkan lagi perkara ini.

“Pendekatan guru memonopoli pembelajaran dalam kelas dengan mereka saja yang banyak bercakap, malah mengedarkan salinan nota disediakan seolah-olah menyempitkan gaya pemikiran pelajar.

“Lebih parah apabila soalan pelajar tidak diendahkan, sekali gus tidak menggalakkan pemupukan kemahiran berfikir di kalangan pelajar.”

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucap utama bertajuk Learned Paralysis: The Unintended Consequences of the Classroom Process pada Persidangan Antarabangsa Pengajaran dan Pembelajaran Peringkat Pengajian Tinggi 2009 (ICTLHE09) di Kuala Lumpur, kelmarin.

Wan Zahid berkata, dalam memastikan pelajar meraih pencapaian cemerlang akademik, seharusnya pembangunan keseluruhan potensi mereka terutama kemahiran berfikir tidak dikorbankan.

Bagi memastikan perkara itu, katanya, peneraju kepemimpinan sesebuah institusi pendidikan termasuk guru besar dan naib canselor perlu memainkan peranan utama dengan mereka sendiri arif mengenai kaedah P&P berkesan.

Beliau turut memberi contoh kejayaan projek perintis dilaksana Kementerian Pelajaran pada pertengahan 1990-an dalam usaha menghasilkan perubahan dramatik pencapaian sebuah sekolah biasa hingga tersenarai antara sekolah terbaik peringkat kebangsaan.

Katanya, Sekolah Menengah Jalan Bayam, Kelantan pada masa itu hanyalah sekolah biasa, malah dilabel sebagai pusat longgokan pelajar dan guru bermasalah.

“Namun, dengan inisiatif dan kreativiti guru besarnya yang diberi autonomi penuh mentadbir dengan pendekatan tersendiri, sekolah itu berjaya menjadi antara terbaik selepas lima tahun program itu dijalankan.

“Antara pendekatan unik guru besar terbabit yang berjaya melonjak pencapaian sekolah adalah melaksanakan pembelajaran tanpa jadual kelas tetap.

“Selain itu, menggalakkan pelajar mendominasi proses pembelajaran dalam kelas, membabitkan mereka dalam proses penilaian guru serta menjadikan aktiviti kemasyarakatan dan sukan sebagai sebahagian program utama kokurikulum,” katanya.

Friday, November 6, 2009

APC : Perang Dingin Dah Nak Bermula

Oleh kerana sekarang ini, setiap guru sibuk menyediakan SKT masing-masing, dan bergurau tentang sesiapa yang akan dapat APC, terdetik di fikiran aku nak bercerita tentang perkara ini. Kali ini aku nak membawa isu ini dari sisi lain untuk dikongsi bersama. So, andai ada yang tak gembira terimalah hakikat ini...

FAKTA PENCAPAIAN AKADEMIK SMKPL ADALAH BEGINI….

Pencapaian PMR semenjak sekolah dibuka
Faktanya;
1. Peratus pelajar lulus semua mata pelajaran (kelulusan PMR) terbaik – 57.22%
2. GPS terbaik – 3.03 (bermakna ramai yang dapat C secara purata)
3. Bilangan pelajar dapat A dalam semua mata pelajaran – 4 orang (tahun 2008), tahun sebelum itu paling ramai 2 orang atau seorang

Pencapaian SPM semenjak SPM terbuka (2001)
Faktanya
1. % pelajar dapat sijil – 98.37% (berasaskan kelulusan Bahasa Melayu)
2. % lulus semua mata pelajaran 42.70%
3. Bilangan pelajar dapat A dalam semua mata pelajaran – 0 orang
4. GPS – 5.97 (secara purata kebanyakan pelajar mendpat gred 6C)

Pencapaian STPM semenjak diwujudkan T6 (Mulai 2003/2004)
Faktanya
1. % pelajar dapat sijil penuh – 100% (ni satu rekod yang baik)
2. PNGK – 2.3
3. Bil pelajaar yang dapat A dalam semua m/pelajaran – 0 orang

Fakta lain
1. % guru yang mendapat skor taraf gemilang (90% ke atas) dalam pencerapan P&P (berdasarkan borang SKPM) – 0 orang
2. % guru yang mendapat skor taraf gemilang (90% ke atas) dalam pencerapan buku nota/latihan – 0 orang.
3. Penarafan sekolah secara keseluruhan SKPM – harapan (markah lebih kurang 75%)
4. Tahun ni – pencapaian kokurikulumpun tidak membanggakan. Pantun hanya mewakili Segamat, dan tewas di peringkat negeri dengan tiada bernombor (sebenarnya ada nombor, cuma selain dari kedudukan 1-3, orang tak nak ingat nombornya). Pidato anjuran Lembaga Hasil dan Pidato BPRpun tak ke mana. Badminton?Bola tampar? Bola baling? Out. Yang tinggal bola telur aje. Kah3.
5. Keceriaan – susah nak cakap. Pergi le mana-mana bilik, tengoklah sendiri.


Persoalannya yang perlu difikirkan:
1. Kalau kita menilai secara menyeluruh dan membuat perbandingan dengan sekolah-sekolah lain berdasarkan perkara-perkara di atas, layakkah kita mendapat markah cemerlang (90% ke atas) dalam penilaian prestasi tahunan, seterusnya mengondol APC tahun ini? [kalau dapat jangan tak ambil pula?] – adakah kita layak dalam kalangan orang yang tak layak? – atau kita layak disebabkan ada kuota untuk sekolah?)

2. Kalau kita seorang pegawai yang bertanggungjawab tentang penilaian prestasi di PPD atau JPN, apakah gambaran pertama yang mungkin terjelma di kepala hotak kita tentang guru-guru di sekolah itu apabila melihat data begitu. Memang le tak teruk sangat, tapi tak juga cemerlang izzit? Kena ingat…data atau angka sebenarnya menceritakan sesuatu!

3. Kalau orang bertanya "Apakah yang boleh awak (penerima APC itu tadi) banggakan dengan sekolah awak?", bolehkah anda menjawab dengan jujur.

So, aku bukan nak perli-perli, atau memperkecilkan orang yang pernah dapat sekali, dua tiga kali, akan dapat atau masih tak dapat-dapat lagi. Cuma bila difikirkan tentang APC ni...apa yang ada dalam gambaran minda aku ialah ada benar juga kata Dr Khir Toyo...satu konspirasi kakitangan awam untuk mengagihkan kuota saja. Dari segi tujuan pemberiannya untuk mengiktiraf sumbangan kakitangan, untuk memberi penghargaan kepada kakaitangan dan meningkatkan motivasi kakitangan dah jadi sebaliknya. Ramai yang hilang motivasi daripada menjadi kakitangan yang bermotivasi gara-gara APC ni.

Yang penting pada aku, SKT aku untuk memiliki tanah sebanyak 20 ekar menjelang umur 40 tahun dah tak kesampaian, kecualilah dalam masa sebulan setengah ni ada mana-mana orang kaya tetiba insaf, bertaubat dan berubah menjadi zuhud, lalu menyerahkannya kepada aku yang boleh dipercayai ini. Cewah! Whatever, aku sudah cuba. Barangkali jika aku ingat pesan arwah ayah aku supaya jangan percaya sangat dengan cakap beberapa orang kuat kampung (yang kebetulannya saudara aku juga), mungkin SKT aku dah tercapai. Masa tu harga tanah masih murah. Tiga ekar cuma belasan ribu saja - tanah kosong. Mungkin terlalu fokus untuk membeli semula tanah 10 ekar (milik ayah yang dijual kepada koperasi – akibat kegawatan ekonomi 1997/98) tu menyebabkan aku terlepas banyak peluang lain. Takpelah tak salah melayan permainan mereka. Sekurang-kurangnya aku belajar sesuatu.

Kesimpulan dari idea asal aku tentang SKT tadi (tah macam mana boleh tercerita bab tanah pula). So, kepada rakan-rakan yang dapat penilaian markah tinggi (cemerlang le)... dari awal lagi aku ucapkan tahniah dan teruskan berusaha dengan lebih kuat untuk membalas kepercayaan, keyakinan dan penghargaan pihak pentadbir. Tolong jangan malukan pentadbir yang memilih anda. Ewah, siap ada amaran lak. Yang masih belum dapat JANGAN MENGAMUK, MEMBEBEL, MOGOK LAPAR, FRUST MENONGGENG DAN SEANTERONYA bila tidak dapat nanti. Sabau…..pentadbir bukan tak ada mata...

Sekian adonyo...
Masih ada masa untuk berubah...

Wednesday, November 4, 2009

Metos

1. Pernahkah anda mendengar cerita orang tentang orang yang kononnya kena penyakit kencing manis tahap kronik dan doktor telah menasihatinya supaya kakinya dipotong. Pada pagi sebelum beliau berjumpa doktor untuk memotong kaki, beliau telah pergi berjumpa seorang bomoh. Setelah diubati oleh bomoh tersebut, Alhamdulillah kaki beliau telah sembuh dan terselamat dari dipotong.

Sebenarnya ini betul-betul cerita metos.
Motif cerita adalah untuk menunjukkan kononnya bomoh tersebut handal.
Buktinya tiada mana-mana doktor boleh memotong kaki pesakit kecing manis (dalam kes biasa) pada waktu petang setelah pesakit itu datang pada sebelah pagi. Pesakit biasanya ditahan diwad dua tiga hari sebelumnya, termasuk diminta berpuasa.

2. Pernahkah anda mendengar orang bercerita dan melarang kita jangan ke kedai makan si pulan bin sipulan – terutamanya kedai yang popular dengan makanan berkuah, kerana perniagaan tersebut laris disebabkan menggunakan petua seluar dalam (spender). Kononnya ada orang (pelanggan) yang secara tidak sengaja telah pergi ke dapur atau mengambil sendiri kuah dari dalam periuk, kemudiannya dia terpandang sekeping seluar dalam turut berada di dalam periuk tersebut.

Sebenarnya ini cerita metos. Motifnya adalah untuk menjejaskan perniagaan member tu. Iyelah, tentu geli geleman tekak orang yang mendengar berita ni.
Buktinya mana ada peniaga membenarkan pelanggan mengambil sendiri sampai ke dapur. Cerita ini telah tersebar di Segamat pada awal 1990 an, dan turut aku dengar masa kat Muar, dan kemudiannya kat Limbang.Huh jauh betul cerita metos ni merantau. Yang sebenarnya memang ada spender kat kedai tu tapi bukan kat dalam periuk, tapi kat dalam seluar atau kain tauke kedai le (dia pakai le beb!)

3. Pernahkah anda mendengar kisah orang politik yang kononnya hampir tidak disenaraikan sebagai calon BN dalam Pilihanraya, namun kerana hubungan isterinya dengan Sultanah yang gitu-gitu, maka beliau telah dipilih untuk bertanding semula.

Sebenarnya ini cerita yang mungkin benar kepada orang tertentu (terutamanya Menteri Besar), tetapi dimetoskan kepada ketua UMNO yang lain.
Motifnya untuk meningkat dan mengahkan imej YB-YB UMNO tersebut.
Buktinya yang memilih wakil bertanding ialah Presiden parti. Sultan terutamanya di Johor tak minat berpolitik.

4. Pernah anda mendengar cerita tentang markah penilaian prestasi sekolah anda (termasuk markah anda sendiri misalnya) rendah dan kononnya di sekolah lain markah prestasi guru-gurunya semua tinggi.

Inipun metos tahap atau aras tiga.
Motifnya untuk meningkatkan suhu kemarahan kawan-kawan kepada pihak pentadbir.
Buktinya cerita ini aku biasa dengar di Limbang Sarawak, kemudian di Buloh Kasap dan kemudian di sekolah ni. Bahkan, kalau terdengar rakan-rakan guru di sekolah lain bercerita, pun kisah kononnya kebanyakan guru-guru di sekolah mereka mendapat markah yang rendah akan keluar, dan markah guru di sekolah lain yang tinggi kan dikumandangkan. Kadang-kadang sama versi dengan cerita di sekolah kita. Hakikatnya tiada bukti atau data yang berjaya dikumpulkan oleh pihak yang bercakap ni. Anda akan selalu terdengar cerita ni walaupun dah balik ke Gua Musang atau ke Pulau Cherry nanti. Kemudiannya akan terdengar pula kononnya di Johor, pegawai penilai terlalu ketat bagi markah, dan rata-rata guru di Johor mendapat markah yang rendah. Entahlah, bagi orang yang biasa dapat 80%, markah 89% tu dah tinggi tapi bagi orang yang dah dapat markah 89% tu tentu nak lebih tinggi...manusia! Hakikatnya prestasi Johor dalam peperiksaan awam memang mencorot. So, sesuailah dengan markah kita (kata geng kat Melaka - Pooracit diapun orang Johor). Kah3.

5. Pernahkah anda mendengar orang bercerita tentang PTK – kononnya kerajaan hanya memberi Tahap 4 atau Gred A kepada pegawai/orang yang dah sampai tangga (naikpun dah tak guna).

Ini metos tahap tinggi juga.
Tujuannya ada dua. Satu nak mempertahankan ego kononnya kita bukan tak pandai, walhal berkali-kali periksa dan masih tak dapat tahap A,A atau 4,4. Buktinya terdapat rakan-rakan yang masih muda mendapat A,A atau 4,4 dalam PTK1 dan PTK2 di SMK Batu Anam (contoh sahih). Walau bagaimanapun, memang logik kalau orang kata ada kuota untuk dapat A,A atau 4,4. Lagipun soalan yang diberikan memang mencabar dan mengelirukan (pihak lawan). So, yang dapat 3,3 tu mungkin anda juga sebahagian daripada orang yang dapat A,A atau 4,4 tetapi disebabkan kuota, anda Cuma diberi 3,3. Ini ada kemungkinan. Sebab kedua untuk tujuan politik le...biar orang marah dan geram kat parti yang menjadi pemerintah.

Ok lain kali kita cerita metos lain pula...

Monday, November 2, 2009

Suara Rakyat Vs Suara Tauke



DATUK Seri Najib Razak merasmikan buku kenang-kenangan Ulang Tahun LLN/TNB ke-60 sambil diperhatikan Tan Sri Leo Moggie (kanan) dan Datuk Seri Che Khalib Mohamad Noh (kiri) di Dewan Serbaguna Kompleks Sukan TNB, di sini, semalam.

Dasar sekolah satu aliran hanya akan dilaksana jika semua kaum sepakat: PM

KUALA LUMPUR: Dasar sekolah satu aliran hanya akan dilaksanakan apabila rakyat mahu dan bersedia menerimanya sesuai dengan semangat 1Malaysia, kata Datuk Seri Najib Razak.

Perdana Menteri berkata, kerajaan hanya akan mengubah dasar itu berdasarkan kepada kehendak masyarakat demi kepentingan mereka.

"Kalau masyarakat bersedia untuk membuat perubahan, kita (kerajaan) akan ubah, selagi masyarakat tidak bersedia kita akan kekalkan seperti sedia ada. Tidak ada gunanya kerajaan mengubah dasar kepada sekolah satu aliran jika keputusan itu boleh menyebabkan perbalahan dan ketegangan dalam politik, masyarakat dan sosial.

"Kalau kita nak ubah dasar kepada sekolah satu aliran, tujuan kita hanyalah untuk perpaduan semua kaum. Kita tidak mahu keputusan itu menyebabkan perbalahan dan ketegangan. Tujuan kita untuk membawa perpaduan selaras semangat 1Malaysia tetapi jika keputusan itu sendiri membawa ketegangan antara kaum, apa maknanya," katanya.

Najib berkata, kerajaan perlu mengambil kira pandangan rakyat terlebih dulu sebelum membuat sebarang keputusan bagi menjaga sensitiviti kaum di negara ini.

"Kerajaan akan hanya mengubah sesuatu dasar jika dipersetujui rakyat dan jika sebaliknya, dasar sedia ada dikekalkan. Kita memberi warga Malaysia daripada kumpulan etnik hak memilih jenis pendidikan yang mereka mahu, jadi perubahan kepada sistem pendidikan satu aliran memerlukan anjakan besar daripada segi dasar dan ia juga menimbulkan persoalan sama ada masyarakat negara ini bersedia untuk menafikan hak memilih jenis pendidikan.

"Saya fikir perkara ini belum ada kata putus dalam masyarakat, ada yang fikir baik diadakan sekolah satu aliran, malah ada yang fikir bahawa mereka nak juga hak untuk memilih. Jadi selagi kita (kerajaan) tidak putuskan mengenai perkara ini, saya tidak mahu berlaku perbalahan dalam masyarakat kerana soal pendidikan ini amat sensitif," katanya.

Komen aku:
Apasal kalau nak naikkan harga minyak, atau melaksanakan dasar kereta berusia lebih 15 tahun mesti diperiksa oleh Puspakom tak ikut suara rakyat, tapi ikut suara tauke besar je. Peeggiiiii ra

Sunday, November 1, 2009

Cabaran Buat Warga Pendidik

“Di Pejabat Daerah, ada seorang Pegawai Daerah (DO) gred 48 ke atas dan 3 orang Penolong Pegawai Daerah (ADO) yang gred 41. Mereka boleh uruskan satu daerah yang besar. Di sekolah, terutamanya sekolah menengah, ada berpuluh-puluh guru gred DG41 dan ke atas, tapi tak berjaya nak menguruskan sekolah dengan berkesan.”

Seorang PPPD, di PPD Segamat pernah melontarkan kenyataan ini dalam satu slot taklimat bersama Guru Kanan beberapa bulan yang lalu. Kenyataan ini memang boleh mengelegakkan darah dan menaikkan kemarahan golongan guru yang mendengar. Aku juga masa tu mendidih sama. Aku lalu mengenggam penumbuk….jeng jejeng

Memang betul, aku fikir guru DG41 ke atas bukan kepalang anak. Mereka warga yang bijak yang telah terbukti memperolehi Ijazah dengan kepujian (sebahagiannya mendapat PNGK 3.0 ke atas), dan sebahagiannya sudah mempunyai Masters. Mereka ada banyak pengetahuan macam mana nak mengajar dan memudahkan P&P, seterusnya membolehkan anak didik mereka memahami isi kandungan dengan mudah. Isu ‘guru tidak pandai mengajar’ tidak sepatutnya timbul lagi, tapi ia masih timbul juga. Mengapa? Memang isu ini tidak melibatkan semua guru, ia berkaitan dengan sebilangan kecil guru sahaja. Sudah banyak teori dikemukakan berkaitan dengan kewujudan masalah ini, dari teori KPLI – kononnya lepasan KPLI tak berkualiti, hinggalah kepada teori guru baru – guru baru tidak tahu mengajar. Hakikatnya bukan sedikit guru lepasan Bachelor Pendidikan juga mengalami masalah tersebut, begitu juga dengan guru sederhana lama dan guru lama. Ini semua berkaitan dengan sikap. Begitu juga dengan kaedah mengajar ‘syok sendiri’ yang sering diperkatakan. Perkenalkanlah apa jua kaedah mengajar terkini, kaedah ‘syok sendiri’ juga yang akan digunakan oleh guru. Kaedah syok sendiri hanya boleh dikenali oleh kita sendiri saja – kita tahu pelajar tak tahu apapun yang kita ajar, walaupun kita sentiasa rasa kita mengajar dengan hebat. Lalu kaedah ‘syok sendiri’ terus didukung oleh kebanyakan guru. Kalau kita setakat tidak mengaplikasikan kaedah-kaedah tersebut, aku fikir guru-guru tersebut masih ok juga, mungkin masih ada kekangan lain untuk melaksanakannya. Namun dari pengalaman aku, ramai guru yang bukan sahaja tidak cuba mengaplikasikan teori tersebut, malah memperlecehkan kaedah penemuan tersebut. Mereka beranggapan bahawa itu hanya teori sahaja. Kelompok ini langsung tidak mahu mengakui bahawa teori tersebut telah diuji dan signifikan dalam kajiannya. Persoalannya adakah tokoh-tokoh yang mengeluarkan pelbagai teori itu dan ini itu bodoh, sehinggakan ilmu yang mereka curahkan kita anggap tidak relevan. Begitu juga, adakah kepala-kepala dalam universiti, maktab atau kementerian pelajaran semuanya bodoh kerana menyediakan kursus @ ilmu yang tidak relevan kepada guru-guru? Adakah ilmu yang disampaikan semasa kita belajar dahulu hanya bertujuan untuk menyusahkan bakal guru supaya mereka susah nak skor kertas itu sahaja?


Setelah berfikir-fikir, aku melepasan genggaman penumbuk. Memang isu yang diutarakan oleh PPPD itu memang agak memanaskan hati dan telinga sesiapa jua. Tapi itu hakikatnya. Dan dengan data-data yang dipaparkan di skrin menyebabkan aku kembali ‘no point’ nak melenting. Memang itu dapatan dari tinjauan beliau ke sekolah-sekolah. Malah, dalam mesyuarat bulanan di PPD, isu tentang bagaimana menulis refleksi dalam buku rancangan mengajar harian masih diperkatakan. Isu sekecil itu masih diperkatakan dan menunjukkan ada sesuatu yang tidak kena dengan guru. Itu hanya menyentuh tentang aspek p&p. Belum lagi disentuh dengan pengurusan fail, headcount, pengurusan audit akademik, pengurusan peperiksaan (JSU dan pembinaan item) dan pelbagai lagi aspek core business kita.


Emm sebagai guru, aku perlu berlapang dada. Aku perlu menyedari kebenaran. Dan yang lebih penting, aku perlu berbuat sesuatu di sekolah untuk mengubah sekolahku…dengan dimulakan dengan mengubah diriku sendiri – masa untuk berubah!

Tuesday, October 27, 2009

Bola itu Bulat

Akhirnya...setelah kalah, kalah dan kalah...Liverpool menang jua. Ha macam tu le (jauh di sudut hati..hancur le peluang aku nak jadi Pengurus kelab tu. Kah3). Memang kemenangan 2-0 ke atas Man United dinanti-nantikan. Aku sebenarnya minat kelab ni sejak era Kenny Daglish lagi. Emm dah lama Liverpool tak dapat jadi juara liga Inggeris. Entahlah, musim ni aku fikir payah juga kelab ni nak jadi juara. Dah tiga kali kalah. Dari pengalaman lepas, aku fikir kelab ni boleh menang bila lawan pasukan kelab yang kuat, tapi bila berlawan dengan kelab kerdil...seri...seri..kalah. Tu yang fed up.

TQ Fernado Torres....dan Ngog...lain kali sumbat gol lagi. Lagi banyak lagi baik. Buat peminat MU, terimalah hakikat bahawa Ferguson kena beli lagi penyerang bertaraf dunia. Jangan simpan duit jual Ronaldo bawah bantal. Nak buat apa? Bukannya dia nak naik haji....

Monday, October 19, 2009

Apabila Kaki Buli Mahu Menjadi Juara Rakyat...

Apabila seorang Presiden sebuah parti dalam Perhimpunan Agung partinya menyeru semua pemimpin dan ahli mereka untuk menjadi Juara Rakyat, aku tersenyum sinis. Aku bukan tidak mahu mereka menjadi Juara Rakyat. Bagi aku bukan mereka saja, malah semua parti perlu dan mesti menjadi Juara Rakyat. Aku tersenyum kerana perkara ini agak kontra dengan amalan mereka selama ini. Dalam parti tersebut, aku fikir terdapat dua jenis golongan pemimpin iaitu yang pertama jenis pemimpin yang memang kaki buli rakyat, kedua pemimpin yang bukan kaki buli tetapi bersekongkol dengan kaki buli tersebut. Persoalannya bolehkah pemimpin yang sama, yang selama ini melalui dasar-dasar pemerintah dilihat menjadi kaki buli atau bersekongkol membuli rakyat, tetiba berubah menjadi juara rakyat? Kelakar kan?

Antara bukti yang nyata bahawa pemimpin dan parti tersebut pernah membuli rakyat adalah;

1. Membuli rakyat sendiri dengan menaikkan harga petroleum, walhal negara adalah pengeluar minyak. Hasilnya harga barang melambung tinggi, sedangkan kadar upah minimumpun ketaq nak tetapkan.

2. Membuli pembayar cukai dengan menggunakan wang mereka secara tiris, tidak telus, tidak berhemah dan membazir dalam melaksanakan program pembangunan.

3. Membuli rakyat sendiri dengan menangkap mereka tanpa bicara melalui ISA.

4. Membuli rakyat dan kerajaan Terengganu apabila mereka menarik balik royalti petroleum yang merupakan hak rakyat Terengganu.

5. Membuli anak-anak Melayu, Cina, India dan etnik lain dengan memperkenalkan PPSMI, dan menghapuskan bahasa Melayu.

6. Membuli pelajar sekolah agama dengan menarik peruntukan geran kepada Sekolah Agama Rakyat.

7. Membuli anak-anak kampung dan pedalaman dengan memperkenalkan meritrokrasi

8. Membuli pelajar universiti dengan memperkenalkan PTPTN dan mengurangkan biasiswa.

9. Membuli orang Melayu dengan mengadakan persempadanan semula pilihanraya pada 2002; yang mengurangkan kawasan majoriti orang Melayu.

10. Membuli rakyat Kelantan dengan menafikan hak royalti rakyat Kelantan.

11. Membuli rakyat Johor dengan mewujudkan Wilayah Iskandar yang menjadi zon bebas, maka orang-orang Singapura boleh masuk secara bebas ke sana.

12. Membuli usahawan Melayu dengan membubarkan Kementerian Pembangunan Usahawan yang menjadi sumber bantuan usahawan-usahawan Melayu.

13. Membuli orang-orang Melayu Bumiputera dengan memperkenalkan liberalisasi ekonomi, maka sekaligus menghapuskan Dasar Ekonomi Baru yang tujuannya membantu ekonomi orang-orang Melayu Bumiputra.

14. Di sesetengah tempat, mereka merobohkan masjid dan kampung setinggan seperti Peristiwa di Kampung Berembang.


Persoalannya, adakah mereka boleh berubah?? Aku fikir…boleh...Boleh blahhh! Bukan mudah membuang tabiat dan perangai buruk yang terbentuk berpuluh-puluh tahun. So, jika nak berubah dengan satu cara saja…semua berundur, serahkan kepimpinan kepada individu yang masih bersih atau sekurang-kurangnya kelihatan bersih. [P/s : Sdra KJ jangan perasan pula pasal ni.]

Nasib Guru Kanan : Lantak kau le Labi...

Pada 14 Oktober yang lalu, aku menghadiri Kursus Pemantapan Guru Kanan Negeri Johor di Kolej Kemahiran Tinggi MARA, Batu Pahat. Kali ini aku pergi bersama-sama dengan seorang Ketua Bidang daripada sekolah kedua aku dulu. Emm member baik juga le dulu (member minum cabut keluar kawasan sekolah). Sebenarnya, aspek yang dikursuskan adalah sama saja...berkaitan pengurusan kewangan, audit kurikulum, pengurusan fail, pencerapan dan penyeliaan guru, dan bidang tugas guru kanan. Emm kursus bertujuan untuk memantapkan lagi kemahiran guru-guru kanan, jadi aku layan sajalah.

Aku sebenarnya tiba ke tempat ceramah agak lewat kerana tempat tersebut tidak 'user friendly' - tiada sign board dan membuatkan kami tercari-cari. Whatever, apabila berdua, semuanya kami hadapi dengan cool. Di dalam dewan, kami terpaksa duduk di bahagian belakang. Emm lokasi strategik untuk keluar dari dewan tersebut. Whatever, kami tidaklah ambil kesempatan tersebut, cuma sesekali kami keluar sekadar melayan member-member lain, pergi ke tandas, atau mengambil angin.

Apabila masuk slot Audit Akademik @ Post Mortem Peperiksaan Percubaan SPM yang membuat aku sedikit terkedu. Subjek Perdagangan...ok. Prinsip Perakaunan...ok, Ekonomi Asas...ok, ERT...ok. Jeng jejeng...Dalam Subjek Sains Pertanian (calon lebih kurang 15 orang - semua lelaki), sekolah aku mendapat rangking tercorot dalam negeri Johor. Hah "Siapa Guru Kanan sekolah ni....sila angkat tangan." Aku buat-buat lawak, sebelah tangan diangkat, sementara sebelah tangan lagi menutup muka. Tahu malu juga aku rupanya. Orang lain ketawa. Cis, ada mata pelajaran yang akan ditutup nanti [he he he]. Emm lama pula slide (power point) tu terpancar di skrin...dan tidak ditukar (ke perasaan aku aje masa tu?) Orang lain ketawa. Takpe, nanti subjek lain...turn lu all pulak. Selepas itu...nasib baik selepas tu En Sahibul tak tanya...kenapa prestasi mata pelajaran tu teruk sangat, atau meminta aku menerangkan program peningkatan prestasi...dan sebagainya. Puas pula aku nak menjawab (Baca:kelentong). Sebaliknya beliau meminta aku dan guru kanan yang hadir tolong tengok-tengokkan subjek tersebut. "Masih ada masa." Kata beliau. Selamat aku daripada terpaksa menjawab persoalan-persoalan tersebut.

Sebenarnya, dalam peperiksaan SPM sebenar bagi mata pelajaran tersebut...sekolah aku tidaklah teruk sangat. Trend keputusan peperiksaan Pertengahan Tahun dan Percubaan tahun lepaspun macam tu juga. Bila result SPM sebenar keluar, walaupun tahun lepas merosot tetapi masih di atas 70%, pencapaian yang lebih baik daripada peringkat negeri dan negara. Dan aku berdoa keputusan sebenar nantipun lebih kurang begitu...

Emm nasib guru kanan....

Monday, October 12, 2009

Kemenangan Yang Tiada Makna

Apa maknanya kemenangan TS Isa dalam PRK Bagan Pinang semalam? Beliau berjaya mengalahkan calon Pas tewas dengan majoriti 5,435 undi. 11,157 pengundi atau 81.65 peratus daripada 13,664 pengundi keluar mengundi dan 223 undi rosak.

Bagi, pemimpin BN, kemenangan itu juga boleh dilihat sebagai;

1. Amat signifikan kepada BN, terutama ketika sedang berusaha memulihkan kepercayaan rakyat selepas kemerosotan sokongan pada pilihan raya umum 2008.

2. Kemenangan besar itu membuktikan kepercayaan pengundi Melayu, Cina dan India di DUN Bagan Pinang sudah kembali kepada BN.

3. Kemenangan ini menunjukkan rakyat sudah menerima konsep 1Malaysia yang diperkenalkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Timbalannya Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin?

4. Kemenangan ini disebabkan kemampuan BN menguruskan negara dengan berjaya.

Bagi aku...walau apa juga sebab kemenangan BN, dan punca kegagalan Pakatan Rakyat (PAS) di PRK tersebut dibicarakan namun aku fikir yang kalah sebenar-benarnya adalah RAKYAT MALAYSIA. Dalam dunia yang serba canggih ini, majoriti rakyat masih berlembut dan masih boleh mengangkat pemimpin yang terbukti terlibat dalam rasuah, atau politik wang sebagai wakil mereka. Bagaimana nak menjadi negara maju sekiranya rakyat tidak mementingkan kredibiliti dan integriti pemimpin? Nyatalah rakyat terbanyak (terutamanya di PRK tersebut) telah membuktikan bahawa mereka sudah semakin hilang kredibiliti dan integritinya. Kalau beginilah budaya masyarakat kita...bukan setakat Wawasan 2020, Wawasan 3030pun tak akan dapat dicapai....

Saturday, October 10, 2009

Kenaikan Harga Rokok : Satu Analisis [Yang Lewat]

Belumpun Bajet 2010 dibentangkan, harga rokok telah naik lagi. Ini menunjukkan cekapnya kerajaan dalam hal naik menaikkan harga barang. Kali ni naik 20 sen, setelah naik 20 sen beberapa bulan yang lalu. [Terror tak taktik ni - kalau naik sekaligus 40 sen, orang akan bising]. So, tahniah kepada para perokok yang telah bertungkus lumus memangkah dan memenangkan BN pada PRU yang lalu. Anda semua memang bagus...bagi juga undi kepada pihak ini. Seperti biasa kenaikan kali ini dirasionalkan kononnya ini adalah cara untuk menghapuskan atau mengurangkan bilangan perokok dalam negara. Teori ekonomi usang dan klasik yang menyebut langkah mengurangkan penggunaan sesuatu barangan dikaitkan dengan peningkatan cukai atau pengenaan kouta masih lagi menjadi amalan pengurusan ekonomi negara. Walhal, cara ini tidak pernah berhasil. Dalam kehidupan sebenar tiada cateris peribus (andaian faktor lain tak berubah - yang sebenarnya faktor faktor akan berubah juga). Benarkah harga rokok yang naik ini akan menyebabkan ramai perokok terkesina, melelehkan air mata keinsafan dan berhenti merokok? Entahlah...aku fikir tidak. Ramai yang berhenti membeli mungkinlah. Kalau adapun yang berhenti mungkin sedikit.

Pada aku kesan kenaikan harga rokok adalah seperti berikut;

1. Kerajaan dapat meningkatkan pendapatan. Jadi bolehlah mereka melancarkan projek-projek pembangunan. Dan projek-projek pembangunan ini akan diwar-warkan sebagai kejayaan parti mereka dalam setiap PRK atau pilihanraya umum akan datang. Itu sebab di sekolah kampung aku yang pelajarnya cuma lima enam puluh orang mendapat bangunan 3 tingkat yang baru. Begitu juga jalan ke felda tempat aku mengajar, sepanjang tahun kerja-kerja menurap jalan raya tidak pernah selesai.

2. Kerajaan dapat mendidik warga Malaysia supaya berjimat cermat. Bila harga rokok naik, perokok biasanya akan mengurangkan perbelanjaan yang bagi mereka 'kurang perlu' terutamanya membeli surat khabar, majalah, dan buku-buku, menjimatkan elektrik (pukul 9.00 malam dah tutup lampu - anak disuruh tidur awal, tak payah belajar), kurangkan tuisyen anak, dan kurangkan makanan tambahan (supplement) anak-anak. Sementara rokok tetap akan dibeli. So, nanti tak ramai le yang jadi cerdik pandai (tah kenapa bila dah cerdik mesti lawan kerajaan balik).

3. Kerajaan dapat menyediakan banyak peluang pekerjaan. Bila banyak dapat duit, maka bolehlah para kontraktor cari makan. Bila kontraktor (kebanyakannya orang kuat parti) boleh cari makan, kuranglah mereka merengek dengan wakil-wakil rakyat @ pemimpin parti mereka. So, telinga pemimpinpun tenang le sedikit. Barulah mereka boleh berfikir macam mana nak meningkatkan kekayaan mereka sekeluarga.

4. Kerajaan membantu perokok mengenali rokok saudara serumpun mereka di Indonesia. Dalam 10 orang yang aku jumpa, 6 atau 7 orang lebih suka menghisap rokok berjenama keretek, berbanding jenama Dunhill, Benson, Lucky Strike dan seanteronya. Ini baik untuk memelihara warisan rumpun Melayu.

5. Kesinambungan daripada perubahan citarasa pengguna kepada rokok keretek (terutamanya yang diseludup), membantu industri minyak wangi, fesyen pakaian dan ubat gigi. Penghisap rokok keretek lazimnya akan mendapat kesan sampingan segera, iaitu ketara baju mudah berlubang kecil, atau bau hapak badan akan meningkat.

6. Kerajaan mendidik rakyat Malaysia belajar cara menguruskan masalah dengan mudah dan berkesan (easy to solve problem). Kerajaan ajar kalau kita nak kekang sesuatu perkara yang tak baik, kita naikkan harganya. Kan ke senang caranya...nak buat apa fikir yang berat-berat, buat menambah gugur rambut Menteri. Bukannya gaji Menteri RM 1 juta sebulan, RM 60K atau 70K je, bukan banyak. Contohnya nak kurangkan orang hisap rokok, naikkan harga rokok. Nak kurangnya penggunaan gula dalam minuman (sebab kencing manis), naikkan harga gula. Nak kurangkan orang bermasalah berat badan (obesiti), naikkan harga ayam, telur, daging dan beras. Pendek kata...inilah sebab sebenar kerajaan sentiasa menaikkan harga barang. Niat mereka memang suci hati, cuma pembangkang yang buat-buat tak faham. Bising-bising di belakang.

So, jangan marah kat kerajaan. Walaupun mereka berpegang kepada teori ekonomi usang. Namun kena ingat...niat kerajaan tetap baik. Kerajaan boleh nak haramkan penjualan rokok tapi nanti pembangkang kata kerajaan zalimlah, kerajaan tidak menghormati hak-hak asasi manusialah. Kerajaan kita ni kerajaan yang baik, yang mengutamakan pencapaian, mendahulukan rakyat....so, terima aje le. Sebelum tu pihak kerajaan minta maaflah kalau ada yang marah. Jangan lupa undi kami lagi nanti tau...

Wednesday, October 7, 2009

Selamat Tinggal Be End

Sebenaqnya aku nak berpuasa dari menulis cerita politik sempena bulan Syawal ni, tapi apabila nama orang yang telah disabitkan dengan politik wang diumumkan oleh UMNO sebagai calon BN PRK Bagan Pinang, berderap jantung aku, bergetap bibir aku. Puharam aku telah ditipu dengan harapan palsu. Aku memang tahu ramai pemimpin parti keris ni banyak menipu dari cakap betul, tapi semenjak asyik memenangkan pihak PR dalam siri-siri PRK selepas tsunami Mac 2008, aku fikir mereka sudah berubah @ bertaubat. Badigol betul aku ni sebab masih terfikir yang baik-baik buat parti nan satu tu.

Pada aku pemilihan orang yang telah disabitkan dengan politik wang sebagai calon parti dalam PRK memberi makna begini...

1. Lantak pi atau pegi mampuslah dengan integriti dan kredibiliti calon. Yang penting calon mesti popular dan mesti boleh menang. (Kalau kalah padan muka kau).

2. Usaha dan slogan yang dikumandangkan di tv atau radio (kecuali di radioburuk 007 fm) oleh pemimpin parti tersebut untuk reformasi (depa segan nak guna istilah ni, depa guna istilah transformasi) semuanya tipu, dan sekadar retorik semata-mata. Sahih, sesiapa yang masih berharap parti tersebut akan berubah...anda bermimpi di siang hari. Sia-sia sahaja mereka berharap pemimpin depa akan berubah sekiranya masih dipimpin oleh kelompok yang sama (satu tong taik).

3. Kelemahan dalam sistem demokrasi tajaan barat, lebih-lebih lagi ala-ala Malaysia, kehendak ramai (kuantiti) akan menang walaupun menghasilkan impak yang tidak baik (tidak berkualiti). Maknanya kalau dalam masyarakat majoritinya penyamun (istilah Abdul Wahub kepada pak mentua, Siddiq Segaraga), dan mereka mahu melantik ketua penyamun sebagai ketua masyarakat, mereka akan menang. Orang yang bukan penyamun kena akur kepada masyarakat penyamun dan ketua penyamun, seterusnya yang lebih baik si bukan penyamun tadi jadilah penyamun sama.

4. Alasan dan hujah-hujah yang cuba merperbodohkan minda rakyat masih kerap digunakan oleh pemimpin parti tersebut untuk mempertahankan keputusan mereka. "Pemimpin yang terlibat dalam politik wang hanya melanggar peraturan parti, bukannya undang-undang negara." Pigi daa mangkuk. Budak kencing masih dalam pampers tahu rasuah dan politik wang tu sama. Yang nampak benda tu berbeza cuma SPRM saja. Begitu juga dengan alasan “Calon tersebut telah menerima hukuman…telah letak jawatan semua jawatan…sebagai Menteri dan semua jawatan dalam parti.” Cis, itu aje hukumannya, dua tiga tahun lepas tu boleh jadi Menteri atau Menteri Besar balik… banyak cantik. Logik ke hukuman macam tu, walhal kerosakan yang dibawa oleh pengamal politik wang bukan alang kepalang? Itu bukan hukuman, itu cuti-cuti Malaysia beb! Politik wang menyebabkan pemimpin yang tiada integriti, tiada kewibawaan, korup, bankrap idea, dan bangang boleh menjadi pemimpin dan mentadbir negeri atau negara. Bayangkan kalau pemimpin sebegini yang diharapkan untuk memajukan Malaysia…alamat jahanamlah negara, akan runtuhlah bangunan yang dibina satu demi satu, akan naiklah harga barang sehari demi sehari, akan tertindaslah rakyat terbanyak. Bagi pemimpin jenis ini...yang penting bagi mereka…pulus (duit) masyukkkk.

5. Ahli parti (yang aktif) tersebut sangat sayang dan masih memerlukan pengamal politik wang untuk memimpin mereka. Sah, poket depa dah nipis. Bagi mereka pemimpin yang mengamalkan politik wang tidak memudaratkan parti, masyarakat dan negara. Walhal, pemimpin yang rendah akhlak ini secara langsung akan sentiasa mendedahkan ahli-ahli masyarakat kepada bahaya dan kemudaratan. Pendek kata, kalau untuk naik berkuasa mereka sanggup menggunakan rasuah dan mengenepikan prinsip, kewibaan dan maruah diri, pasti mereka juga apabila berkuasa terdedah kepada penyelewengan, hatta bersekongkol dengan musuh negara untuk menjahanamkan negara yang tercinta ini. Perasuah tak akan dapat memberi rasuah jika tidak dapat rasuah. Dan hanya orang-orang yang berbudaya rasuah sanggup dipimpin oleh perasuah.

6. Masih terdapat pemimpin parti tersebut yang masih berlagak, angkuh dan tidak tahu insaf. Mereka bukan sahaja tidak insaf, malah berlakon kononnya diri pejuang parti yang baik. Mereka kononnya sanggup menerima hukuman dari parti tetapi masih setia pada parti. Dan perkara ini perlu dijadikan modal supaya mereka diberi penghargaan dengan memilih dia sebagai calon. Piraa. Inilah pelakon the best of the best di Malaysia masa ni. Sayangnya lakonan dia sama ada dari segi perbuatan atau percakapan hanya mungkin laku di Pulau Kum Kum atau di Kapit saja. Yang kelakarnya (tiba-tiba calon tersebut mahu berlakon filem komedi pula), dia mengaitkan pemimpin pembangkang dengan kelayakan dia untuk mmenjadi calon. DS Anwar Ibrahim, atau Lim Guan Eng, yang pernah dipenjara dijadikan modal betapa dia lebih baik dari mereka. Piraa. Rakyat yang celik informasi tahu cerita sebenar, dan faham sebab-sebab pemenjaraan tokoh-tokoh pmbangkang ini. Alasan “Kalau pemimpin pembangkang ada yang telah dipenjarakan, masih diterima dan menjadi MP, takkan saya tak boleh.” sangat memualkan. Bak kata sahabat aku..."Aku nasihatkan dia supaya tengok cermin lama-lama sikit. Jangan cuba perasan dia hero [dia bukan kategori hensem, kategori bantut ada le]." "Emm masihkah dia ingat semasa dia mentadbir dulu…negeri yang dia pimpin hampir digelar Negeri Pengeluar Babi Terbesar di… Apasal boleh jadi lagu tu…takkan sebab politik wang juga kot?" Bebel sahabat itu lagi.


7. Hayat parti tersebut dah semakin hampir ke kubur kerana golongan muda dan pengundi atas pagar (termasuk aku) sudah hilang sabar dan semakin mengelegak dari hari ke hari untuk mengajar mereka dalam PRU akan datang. Pedulikan pendapat penganalisis politik yang selalu memberikan dapatan yang merapu dan menipu apabila post mortem kekalahan parti itu dibicarakan…dari spesis botak sampai ke spesis yang selalu hilang pisau cukur untuk trim misai mereka. Kononnya parti itu kalah kerana rakyat terpedaya dengan dakyah pembangkang, atau kerana perpecahan parti itu sendiri. Hakikatnya parti itu ditolak kerana golongan muda, golongan atas pagar dan sebahagian golongan dalam parti tersebut sudah hilang kesabaran dan hilang kepercayaan kepada mereka. Kami hilang sabar dengan tingkah laku kebanyakan pemimpin mereka, kami hilang sabar dengan lagak dan ego pemimpin mereka, kami hilang sabar dengan banyak isu penyelewengan pemimpin mereka, kami hilang sabar dengan cara pemerintahan mereka yang mendera kami, kami hilang kepercayaan bahawa mereka boleh membawa kebajikan kepada kehidupan kami.

Friday, September 18, 2009

Selamat Hari Raya Eidul Fitri



Kepada seluruh warga SMKPL, dan sesiapa jua yang terbaca blog ini, saya ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Eidul Fitri Wal Faizin. Maaf Zahir dan Batin. Semoga segalanya berjalan dengan baik...

Udara dingin hening pagi
Tabuh bising mulakan hari
Aidilfitri menjelma lagi
Masing-masing pakai berseri

Tanpa mengira miskin kaya
Pangkat kedudukan hamba shaya
Sama-sama menyambut raya
Maaf-maafan dihari bahagia

Aidilfitri hari kemenangan
Kejayaan menempuh halangan
Mengenali erti kesenangan
Bagi mereka yang kekurangan

Aidilfitri hari kemaafan
Menghapus kesalahan sesama insan
Memupuk perpaduan sesama ehsan
Mengikat tali keakrapan

Wednesday, September 16, 2009

Isu politik T'ganu kito lo ni...

Khabar angin tentang ADUN hendak lompat parti di Terengganu hangat diperkatakan semenjak akhir-akhir ini. Kali ini dikhabarkan 9, 10 atau 11 ADUN UMNO akan melompat menyertai PR (keADILan), seterusnya menumbangkan kerajaan BN Terengganu. Oleh kerana hal ini difikirkan menguntungkan PR, maka akhbar-akhbar yang Pro PR turut syok sama mensensasikannya. Maka ramailah penyokong PR yang teruja dengan berita ini (time ADUN kaorang melompat kat parti lain kaorang bising dan tuduh bukan-bukan…]

Sekiranya berita ini betul-betul berlaku, benarkan PR atau parti KeADILan akan beroleh keuntungan? Dari segi jangka masa pendek mungkin ya, namun untuk jangka panjang sukar dipastikan, bahkan rasanya ia memberi peluru meriam kepada UMNO dan BN untuk menyerang keADILan sebagai parti untuk orang kecewa, atau parti untuk orang merajuk, atau parti untuk orang kalah. [Come on beb...parti yang dikatakan pejuang rakyat...jangan perleceh hidup anda dengan melayan puak katak Gano ni]. Imej ini memang sudah cuba ditanam oleh UMNO dan BN semenjak keADILan ditubuhkan, tetapi rakyat terbanyak masih tidak termakan dakyah ini kerana ramai mengetahui isu sebenar di sebalik penubuhan keADILan iaitu akibat konspirasi peringkat tertinggi yang akhirnya berlaku penganiayaan terhadap DSAI. Tambahan pula, rekod perkhidmatan, dan kekuatan keperibadian, sahsiah dan sejarah perjuangan DSAI sukar digugat oleh UMNO dengan isu-isu tersebut.

KeADILan (kerana dikhabarkan ADUN2 tersebut akan melompat menyertai keADILan) diharapkan tidak sewenang-wenangnya menerima orang yang tersingkir dari parti mereka, kecewa tidak diberi jawatan, atau kalah dalam pemilihan parti mereka. Ini kerana dibimbangi mereka ini terdiri daripada kelompok oppurtunis politik. ADUN2 ala 'apek dan marjina (dalam Ali Baba Bujang Lapuk) ni juga jangan mudah diberikan sebarang jawatan dalam parti. Mereka ini sudah karat dengan budaya UMNO dan BN - payah nak cuci dah.Bayangkan jika puak ini menguasai keADILan nanti. Tidakkah parti akan hancur lebur dibuatnya. Selain itu, tindakan ini turut akan menyebabkan pendokong parti yang setia, yang benar-benar komited dan kompeten, yang terbukti telah berjuang dengan mengorbankan masa, tenaga dan wang ringgit dari awal terpinggir. Tidakkah keADILan akan rugi?

Memang keADILan perlu memperkuatkan parti tetapi bukan ini caranya. Persoalannya…adakah orang yang selama ini terlibat dalam pelbagai projek membazirkan wang rakyat, orang yang rakus mengumpul harta untuk diri dan kroni, dan secara langsung atau tidak langsung menganiaya rakyat [terutamanya bukan penyokong BN], perlu dimaafkan dengan begitu sahaja, diterima menjadi pemimpin, malah akan diberikan pangkat? [Banyak canteek muka kau]. Dan yang hairannya, takkan semudah itu penyokong keADILan berubah menyokong dan menganggap mereka sebagai hero pula [jangan haraplah]

Namun jika mereka yang masuk itu memang seorang yang berimej bersih, berintegriti, profesional, berjiwa rakyat dan bertindak untuk kepentingan rakyat, mampu melaksanakan amanah, tidak dipalit pelbagai skandal – terutamanya rasuah dan seks, bukan seorang pengumpul harta, bukan ahli kelab Korupsi, Kroni dan Nepotisme (KKN), berdaya juang dan berpendirian - tak kiralah mereka dianiaya oleh boss parti mereka atau tidak, maka kehadiran anda dalam keADILan amat dialu-alukan.

Fikir-fikirkanlah wahai orang-orang keADILan…..

Monday, September 14, 2009

Petrol Naik oh Petrol Naik - Satu lagi Projek....

Mulai 1 September 2009, minyak petrol RON95 yang menggantikan RON92 dijual pada harga RM1.80 seliter manakala RON97 pada RM2.05 seliter. Minyak RON95 kini lima sen mahal berbanding paras sebelum ini iaitu RM1.75. [Pengguna RON 92 sebelum ini akan menanggung kenaikan sebanyak 5 sen seliter apabila terpaksa menukarguna RON95]. Dalam pada itu, RON97 pula dijadikan produk premium dan harganya RM2.05 seliter (Pada Jun dikatakan akan naik menjadi RM 2.00 sahaja – satu lagi projek penipuan kerajaan BN - mana tak asyik kalah PRK) berbanding RM1.80 sebelum ini. Menurut Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kadar baru ini ditentukan berdasarkan Mekanisme Harga Automatik (APM) [Tah mekanisme apa tah]. Menurut beliau lagi, walaupun harga sekarang lima sen lebih tinggi, kerajaan masih memberi subsidi 33.81 sen bagi setiap liter (produk RON95) yang bersamaan dengan RM304 juta sebulan. Kini kerajaan menyediakan subsidi 42.72 sen seliter bagi minyak RON97.

Entahlah, pening kepala aku kalau memikirkan pasal harga minyak sekarang ni. Dari info yang aku jumpa, ternyata pada tahun-tahun 2000 dan ke atas harga minyak Petrol terus naik, naik dan naik. Berikut adalah dapatan berkaitan kenaikan harga minyak (RON 97-kalau tak silap)
Sebelum 1990 – RM 0.89
Tahun 1990an – RM 1.10 (kenaikan RM 0.21 dari tahun tu) – harga minyak stabil 01/10/2000 – RM 1.20 (kenaikan RM 0.10)
20/10/2001 – RM 1.30 (kenaikan RM 0.10)
01/05/2002 – RM 1.32 (kenaikan RM 0.02)
31/10/2002 – RM 1.33 (kenaikan RM 0.01)
01/03/2003 – RM 1.35 (kenaikan RM 0.02)
01/05/2004 – RM 1.37 (kenaikan RM 0.02)
01/10/2004 – RM 1.42 (kenaikan RM 0.05)
05/05/2005 – RM 1.52 (kenaikan RM 0.10)
31/07/2005 – RM 1.62 (kenaikan RM 0.10)
28/02/2006 – RM 1.92 (kenaikan RM 0.30)
05/06/2008 – RM 2.70 (kenaikan RM 0.78)
23/08/2008 – RM 2.55 (penurunan RM 0.15)
xx/09/2008 – RM 2.40 (kemungkinan penurunan RM 0.15)
Sehingga 31/08/09 - RM 1.80
01/09/2009 – RM 2.05

Pihak kerajaan berhujah bahawa kenaikan ini wajar. Pelbagai alasan diberikan. Antara hujah yang sering diberi tapi tak munasabah ialah ialah kerajaan sudah tidak mampu menanggung subsidi minyak, negara akan bankrap, atau pelbagai alasan lain yang menyebabkan kita naik tergelak. Emm senang rupanya jadi Menteri ni rupa-rupanya, tak payah penat-penat guna akal fikiran - bila ada masalah, selesaikan masalah tersebut dengan mewujudkan masalah lain (barulah nanti orang nampak mereka ada kerja kot). Misalnya bila ada masalah kenaikan harga minyak di pasaran dunia, buat je keputusan naikkan harga minyak dalam negara. Senang je kan? [Tu sebab bila ada masalah kemalangan, mereka naikkan had umur pemandu yang dibenarkan memiliki lesen - macamlah yang accident tu banyak berlaku di kalangan golongan remaja. Bila ada masalah berkaitan dengan pekerja Indonesia, mereka suruh cari pekerja asing dari negara lain - lastly pekerja Bangladesh atau Vietnam lagi banyak masalah. Bila ada masalah peningkatan remaja merokok, mereka naikkan harga rokok setiap tahun - macamlah orang susah nak dapat rokok, walhal ramai perokok menghisap rokok seludup yang jauh lebih murah].

Tak ada cara lain ke yang boleh menyebabkan mereka dianggap pandai menyelesaikan masalah rakyat - bukan cuma tahu menyesakkan nafas rakyat? Sebagai negara pengeluar minyak (walaupun bukan pengeluar utama), harga minyak di Malaysia memang tinggi berbanding Brunei Darussalam, Qatar, dan Nigeria (memadai 3 contoh negara ini). Lagipun apa kena mengena alasan 'kerajaan tak mampu' nak bayar subsidi, ataupun 'negara akan bankrap kalau terus menanggung subsidi' sebab dana yang digunakan untuk membayar subsidi boleh ditampung oleh sebahagian daripada royalti petroleum yang dibayar oleh PETRONAS saja, dan tidak melibatkan hasil lain. [Emm ni musti ada plan nak penghabihkan duit royalti tu ke benda lain]

Bagi aku dalam isu minyak Petrol ni, kerajaan perlu telus mendedahkan berapa jumlah royalti yang dibayar oleh PETRONAS kepada kerajaan setiap tahun, dan ke mana wang tersebut dibelanjakan. Kalau benar, memang wang tersebut dibelanjakan secara berhemah untuk tujuan keperluan negara, dan kalau benar memang sampai tahap negara boleh bankrap, aku fikir semua rakyat Malaysia akan beranggapan memang patut harga minyak dinaikkan.

Dan kalau nak buat benda senang ni pun takut...aku fikir must have something wrong somewhere le...

Monday, September 7, 2009

PRK lagi. Kali ni di Bagan Pinang.

Selepas PRU ke 12 lalu, aku fikir penggal inilah yang paling banyak (8 kali) menyaksikan PRK diadakan, dengan pelbagai sebab, daripada sebab kematian hinggalah ke sebab peribadi. Dalam 8 PRK itu, 7 kali dimenangi oleh Pakatan Rakyat, dan 1 dimenangi oleh BN (itupuk kat Sarawak beb). Tahniah kepada BN kerana berjaya mengekalkan kekalahan. Harap-harap kali ni kalah lagi. Kah! Kah! [Apa punya minyak kau pakai daa...sampai suwey 7 kali).

Aku fikir Barisan Nasional (BN) mempunyai peluang cerah untuk mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang, Negeri Sembilan kali ini. PRK terpaksa diadakan ekoran kematian ADUN kawasan itu, Azman Mohd. Nor semalam. Kawasan ini terletak di bawah parlimen Teluk Kemang yang diwakili oleh MP PKR, dan merupakan dua DUN yang terselamat daripada jatuh ke tangan Pakatan Rakyat pada 8 Mac tahun lalu. 70% jumlah pengundi adalah kaum Melayu. Faktor yang paling utama yang dapat membantu kemenangan BN adalah faktor pengundi pos berjumlah 5000 orang. Walau bagaimanapun, kalau BN tersalah letak calon yang tidak dapat diterima – dari pelbagai aspek, atau anak ketua bahagiannya sendiri (kroni beb) misalnya, aku fikir parti itu akan kalah.

So, aku fikir, kalaulah BN menang nanti, tentu esoknya terpampang berita "Rakyat sudah cerdik dan Menyokong BN" atau "BN mendapat kepercayaan rakyat kembali" dan seanteronyalah.

So, Pakatan Rakyat berdepan dengan misi getir kali ini. Whatever, kalau Pakatan Rakyat menang kat situ, aku yakin 99% bahawa dalam PRU ke 13 nanti, BN akan bungkus.
Kita saksikan nanti....

Monday, August 31, 2009

Merdeka! Merdeka! Meerdekaaaa!

Bagi aku seseorang yang merdeka adalah individu yang sekurang-kurangnya mempunyai ciri-ciri berikut;

1. Mempunyai jati diri yang kuat - Merdekakah kita apabila berjaya mengusir penjajah dari bumi Malaysia, walhasil dalam masa yang sama kita masih mengagung-agungkan budaya, gaya hidup, fikiran dan nilai-nilai masyarakat mereka??

2. Hidup selesa - Merdekakah kita apabila berjaya membentuk pemerintahan sendiri, walhal ekonomi masih dikuasai oleh orang lain, dan kita masih hidup dalam paras kemiskinan (atau atas paras tapi masih susah serba serbi untuk hidup)??

3. Hidup selamat - Merdekakah kita apabila sering dilaungkan bahawa negara dalam keadaan aman dan sejahtera, hakikatnya kadar jenayah meningkat, rasuah berleluasa dan penyakit masyarakat terus membarah?

4. Hidup bermaruah - Merdekakah kita apabila sering diperbodohkan, dieksploitasi, dimanipulate, diperkotak-katikkan, dan dianiaya oleh orang lain sesuka hati, tak kira siapa - Menteri, wakil rakyat, ketua kampung, kakitangan kerajaan atau peniaga?

5. Hidup tenang - Merdekakah kita jika masih dikelilingi hutang - dari hutang rumah (yang besar) hingga ke hutang peribadi (yang kecil)?

6. Bebas bertindak (seperti berfikir, bersuara dan membuat keputusan) dalam had yang dibenarkan agama - Apakah merdeka maknanya kita boleh berbuat apa sahaja, hatta perkara-perkara yang boleh membinasakan diri, masyarakat dan negara?


Selamat merayakan Hari Kemerdekaan Malaysia kepada semua warga negara. Semoga masing-masing dapat menghayati makna kemerdekaan yang sebenar.

Thursday, August 27, 2009

Datang dan Pergi

1. Maka tersebut alkisah GPK HEM di sekolah aku yang baru dapat transfer ke sekolah lain. So, selamat bertugas di tempat baru, semoga bertambah komited. Begitu juga, tahniah kepada Penyelaras Bestari yang akan mula bertugas di sini mulai naik cuti ini (mungkin).

2. Bagi aku di disini, entahlah, semenjak Cik Sherie (Bukan nama sebenar) tranfer ke sekolah lain di daerah yang sama, GPK HEM macam biskut chipsmore…kejab ada, kejab tak ada, kejab ada, kejab tak ada. Whatever, hidup perlu diteruskan, setiap apa yang berlaku ada hikmahnya.

3. Hampir 4 tahun berada di sini...aku fikir, banyak perkara yang aku boleh baca berkaitan pemikiran rakan-rakan setugas di sini apabila ada isu kekosongan jawatan ini. Akan ada rakan-rakan yang mencaturkan atau meramalkan kenaikan pangkat atau pertukaran post di kalangan guru-guru. Dahulu, semuanya macam betul, kecuali dalam beberapa kes (termasuk dalam kes aku juga le). Tapi itu dulu, zaman awal SSM. But, now it's different. Sekarang, hasil dapatan kajian rambang aku, Jawatan Naik Pangkat di sekolah perlu disi oleh Guru DG 44 (Guru yang telah naik pangkat dari segi gred – kalau tidak silap). So, masalah kat sini kerana tidak ramai guru DG 44.

4. Pihak sekolah memang boleh mencadang, tetapi kalau pihak PPD ada calon dari sekolah lain yang mereka fikirkan lebih layak (lebih berkebolehan, dan lebih senior, misalnya), maka individu tersebut akan dipilih mengisi kekosongan jawatan tersebut.

5. Untuk makluman...pada 2004, dalam mesyuarat PPD dengan guru DG44 dan pemegang Masters/PHD, aku (masih guru penolong masa ni) diberitahu bahawa seorang guru telah mengkritik pihak PPD kerana tidak menawarkan jawatan di sekolah ini kepada guru di luar. Individu tersebut meminta supaya jawatan turut ditawarkan kepada guru di sekolah lain, dan alasan 'tak ada orang lain yang nak masuk ke sini' tidak boleh diterima. Malangnya individu tersebut turut menolak apabila ditawarkan jawatan ke sekolah ini. Mungkin dia dah selesa dengan jawatan sedia ada pada masa itu. Wallahualam.

6. Konklusi – bila banyak jawatan kosong yang masih tidak disi, sedikit sebanyak ianya turut menganggu perjalanan sekolah, khususnya dari aspek pentadbiran. So, harap-harap kami akan mendapat GPK HEM yang baru, GKMP Sains & Matematik, dan GKMP Bahasa dalam masa yang terdekat ini.


Arios..

PRK Permatang Pasir

Salam

Tahniah kepada UMNO BN kerana berjaya mengekalkan kekalahan dalam siri-siri pilihanraya kecil di semenanjung semenjak 8 Mac 2008. Bravo! Nampaknya walau apa usaha (kalau benar-benar ada)yang mereka buat, namun masih belum dapat memulihkan kepercayaan dan mengubati kekecewaan rakyat selama ini, khususnya di Permatang Pasir. Tapi takpe, teruskan usaha. Usaha yang betul pasti jaya, sementara usaha tak betul pasti 'jalan' dalam PRU akan datang.

Tahniah kepada PAS dan PR kerana berjaya mengekalkan rekod kemenangan selama ini. So, lepas ni bolehlah hang semua gaduh balik, bertelagah, dan buat statement 'suka hati' yang boleh menyakitkan hati pihak lain.

So, sebagai resolusi, buat kedua-dua pihak...ingatlah, untuk menang PRU atau PRK, kemenangan bukan boleh dicapai hanya melalui undi ahli parti anda sahaja. Ramai lagi pengundi yang tidak berparti. So, kedua-dua pihak perlu ingat...serve pada semua orang (rakyat - tanpa mengira parti), bukan kepada ahli parti masing-masing sahaja.

Sekian

Wednesday, July 15, 2009

P/Raya manik Urai

Tahniah kepada PAS yang telah memenangi pilihanraya kecil DUN Manik Urai dengan majoriti 65 undi. Banyak tu beb! Lain kali bila dah menang sikit, buat perangai semula. Naikkan tocang masing-masing, biar lepas tu kalah balik.

Tahniah juga kat UMNO kerana berjaya kalah sekali lagi. Kah! Kah! Kah!

Saturday, May 16, 2009

Hari Guru

Dulu, bila cikgu kita merotan, kita kata mereka garang. Bila cikgu marah, kita kata mereka panas baran. Bila mereka menasihat, kita kata mereka berleter. Now kita dah jadi guru. Pasti murid-murid kita sekarang juga melabel kita macam itu juga. Kah! Kah! Kah. Tapi tak apa, kalau kita ikhlas dan melaksanakan tugas dengan baik, suatu hari nanti pasti anak didik kita memahami tindakan kita itu. Ada guru senior berpesan...jadilah guru yang berkesan, jangan jadi guru yang popular. Guru yang berkesan akan terus diingati, guru popular kejab dilupai. Kalau menjadi guru yang berkesan dan popular lagi bagus (ni aku yang tambah). Whatever, Selamat Hari Guru kepada semua guru, khususnya guru-guru SmKPL. Guru berkesan penjana negara bangsa.

Monday, April 27, 2009

Transfer oh Transfer!

Sekarang ini beberapa orang guru di tempat di tempat aku mengajar sibuk bercerita tentang permohonan pertukaran sekolah. Emm lumrah alam.

Aku teringat ketika berkudapan bersama-sama Tuan Pegawai Pelajaran Daerah Segamat (yang turut disertai oleh Pengetua, PK1 dan PK Petang) sempena Latihan Dalam Perkhidmatan 2 : Integriti dan Budaya Kerja Cemerlang di sekolah aku tempohari, Tuan PPD sempat bertanyakan berapa lama aku sudah berkhidmat di sekolah ini. Oleh kerana Tuan Pengetua dan GPK1 ada di situ, aku katakan “masuk tahun ke 4 tuan.” Kalau mereka tiada, nescaya mulut aku yang peramah ini akan katakan “Sudah masuk tahun ke 4 tuan. So, bila saya boleh bertukar ke sekolah di luar sana.” Kah! Kah! Sebenarnya tuan PPD ini memang aku kenali kerana dia bekas Pengetua aku di SMKBK [2002-2005] dulu. Ketika mendapat tawaran sebagai Ketua Bidang (atau Ketua Badang – menurut En. Azizul Rahman, Guru Cemerlang Gred Khas C, Batu Pahat) di sekolah ini, beliau yang menyuruh aku ke Pejabat Pelajaran Daerah untuk mengambil surat tawaran tersebut. Selepas mendapat surat tawaran dan menerima nasihat (supaya cepat-cepat melapor diri) dari PPPD (Menengah), aku tidak terus melapor diri. Bahkan, aku meminta pandangan dan nasihat daripada dia. Selepas itu, barulah aku meminta pandangan daripada rakan-rakan yang rapat – Daud, Wahid, Hj Shikin, Amir, Sarip, Hj Moin, Rosman dan Mahadir. (Perbincangan dengan keluarga – bila aku balik sekolah le) Semuanya memberi nasihat positif – "kau pergilah, itu lebih baik untuk future kau". Semua dari mereka macam pakat-pakat menghalau aku dari sekolah itu. Kah! Kah! Kah! Antara nasihat PPD yang aku ingat adalah supaya aku sentiasa akur kepada keputusan mesyuarat pentadbiran, dan jangan cakap lain dalam mesyuarat pentadbiran, dan cakap lain di belakang. Istilahnya menikam rakan-rakan pentadbir di belakang. Emm setakat ini aku fikir aku masih ikut nasihat tersebut.

Emm diam tak diam, sudah masuk tahun ke 4 aku berkhidmat di sekolah ini. Dari rekod servis aku, aku berkhidmat di SMKSPL, Limbang cuma 4 tahun (1998-2001), di SMKBK, Segamat (2002-2005), juga 4 tahun. Di sekolah ini? 4 tahun juga kot..? Ceh, ceh, ceh!

Sebenarnya nama sekolah tempat aku mengajar sekarang ini sering aku dan member-member yang sealiran di sekolah no 2 dulu sebut-sebutkan. Bukan bertujuan untuk menghina, tetapi lebih kepada simbolik 'kau akan susah', lantaran kedudukannya yang agak jauh dari rumah.

“Dalam mesyuarat tadi kau jangan laser sangat, tak pasal kau ditransfer ke P***** nanti". Ketawa.”

Atau

“Tahniah, awak dilantik jadi GPK (atau GKMP), tapi kat P***** le.” Dan ketawa.
[ayat ini sering diucapkan sesama geng kami – apabila ada di antara guru di sekolah itu naik pangkat ke sekolah lain – memperli kawan-kawan le]

Dan tidak sangka, apa yang kami guraukan akhirnya menjadi realiti kepadaku. Entahlah, mungkin ada member-member yang menganggap aku gila kuasa apabila sanggup menerima tawaran tersebut ke sekolah yang lokasinya agak jauh ke ‘dalam’, sedangkan sekolah lama aku sekitar 5 km @ 5 minit saja dari rumah. Aku juga terpaksa menanggung kos yang lebih berbanding dengan jumlah elaun tanggungjawab yang tidak seberapa. Dan yang paling phobia, setiap pagi (khususnya) aku sebenarnya mudah terdedah kepada risiko kemalangan kerana jalan yang agak sempit dan bengkang-bengkok, sesetengah pemandu kereta yang biol - tak mahu memberi laluan walaupun mereka memandu lembap macam kura-kura, atau penunggang motosikal yang lebih sayangkan tayar motor dari terkena tahi lembu, berbanding nyawa mereka sendiri.

Bagi aku, banyak faktor mengapa aku ke sini. Pertama, aku ingin mencari tempat kerja yang aman damai. Di sekolah ini, aku akan mengajar murid 100% Melayu - mungkin kurang stress. Kedua, aku ingin bebas dari persaingan yang sengit. Di sekolah lama nak mengajar subjek opsyenpun kena promote, kena jadi pemeriksa kertas dsb. Ketiga, aku fikir aku mesti bertukar sekolah kerana kepuasan kerja aku telah menurun disebabkan hal-hal berkaitan dengan PTK. Keempat, aku sudah lama terputus hubungan dengan generasi baru kampungku dan aku kena ke sekolah ini untuk membaiki hubungan. Kelima, di sekolah baru aku nantipun ada tingkatan 6. So, lebih kurang sama dengan sekolah ke 2 itu. Keenam, untuk tujuan peningkatan kerjaya. Aku mula terfikir menjadi kepala kepada ayam lebih baik daripada menjadi ekor kepada seekor lembu. Walaupun bukan kepala betul-betul (cuma sipi-sipi je) tapi sekurang-kurangnya aku turut terlibat dalam proses pembuatan keputusan.

So, aku fikir sekarang ini aku masih enjoy di sekolah ini. Aku mempunyai seorang ketua yang sentiasa cool, sabar dan sentiasa memberi peluang kepada orang bawahannya menunjukkan kebolehan. Aku mempunyai rakan-rakan yang boleh berkongsi cerita, minat dan pengalaman. Aku juga mempunyai anak-anak buah yang mudah diurus, yang walaupun tidak perfect dalam kerja, sekurang-kurangnya tidak menunjukkan besar kepala. Dan yang penting, aku masih malu nak mengisi borang tukar.

Adioss

Monday, April 20, 2009

Artis Oh Artis!

Semalam aku terbaca kisah kontroversi seorang pelawak yang kononnya secara spontan memeluk kekasih dia setelah diumumkan sebagai Artis Paling Popular. Walaupun tindakan beliau meminta maaf selepas itu ramai yang memuji, namun statement beliau selepas itu seolah-olah berbangga pula dengan tindakan beliau memeluk itu. Itu yang menjadi kontroversi. Entahlah, setahu aku cuma lelaki aw aw sahaja yang macam tu. Lelaki sejati macam aku biasanya cool sahaja dan boleh mengawal keadaan. Kami juga bukannya macam orang perempuan..sakit menangis (tak caya tak payah kerat tangan diorang, picit jari je sure diorang dah menangis melolong satu kampung), sedih menangis, gembirapun menangis. He! He!
Paling tak senonohpun, cuma akan melonjak dan menjerit horey. Pelawak tersebut kata tindakannya spontan.

Spontan adalah tindakan luar sedar yang dilakukan akibat sesuatu kejadian yang tidak diduga. Nampaknya pelawak tersebut tidak menduga dia akan menang. Kesian...seorang yang tersenarai dalam final tetapi tidak menduga akan menang, walhal anugerah tersebut merupakan berupa undian para peminat. Ok, itu satu hal. Ramai pengkaji berpendapat bahawa perbuatan atau perkataan spontan yang dilakukan atau dikeluarkan oleh seseorang sebenarnya merupakan tindakan yang sering mereka dilakukan. Contohnya jika seseorang selalu menjadikan perkataan "celaka..." sebagai 'pemanis ayat' dalam percakapan mereka, maka ayat yang akan keluar apabila mereka terperanjat adalah "Celaka..." juga. Begitu juga dengan seorang yang selalu berlatih silat. Apabila terperanjat atau terkejut beruk, maka bunga silat atau buah pukul silat tersebut akan dipamirkan. Mustahil tiba-tiba mereka mengeluarkan jurus kung fu, tai chi atau silambam. So, kalau seseorang tetiba terperanjat, dan terpeluk awek dia, dia pasti selalu buat kot.

Dari pengamatan aku, terdapat segolongan artis yang sentiasa cuba menghalalkan apa yang mereka buat, walaupun sah bertentangan dengan hukuam agama Islam. Alasan-alasan seperti "ikut kehendak skrip", "itu cuma lakonan...tak ada apa2 perasaan. Lagipun bukan kami berdua saja, ramai krew yang tengok.", dan bermacam-macam alasan 'biang' turut diutarakan. Ada pelakon yang lebih brutal berkata "kalau pegang2 tangan tak boleh, itu tak boleh, ini tak boleh...baik jangan jadi pelakon". Huh, kalaulah yang bercakap itu Jackie Chan, Vijay, ataupun Kareena Kapoor orang boleh terima. Ini orang Islam sendiri yang bercakap macam tu. Ini sebenarnya mengambarkan betapa celarunya jati diri para pelakon tersebut.

So, hope artis baru tu atau sesiapa saja yang berbangga apabila buat maksiat tu, ubahlah tabiat tu. Banyak-banyak bertaubat. Ikutlah Ustaz Zul 40 hari, Insyaallah. Ingatlah "Berpegang-pegang tangan bukan mukrim itu sama seperti memegang kulit babi".

(Catatan ni bukan nak tunjuk baik lak. Mudah-mudahan dengan usaha kita yang saling ingat-mengingati, kita akan berbahagia di dunia dan akhirat)

Adioss...

Sunday, April 19, 2009

PRK Penanti : BN kaji Tak Tanding

BN kaji tak tanding

Pilihan raya kecil DUN Penanti hanya mainan politik pembangkang: PM


PEKAN: Datuk Seri Najib Razak berkata Barisan Nasional (BN) mungkin tidak meletakkan calon pada pilihan raya kecil kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti, Pulau Pinang kerana jelas sekali ia adalah mainan politik pembangkang.

Bagaimanapun kata Perdana Menteri, Majlis Tertinggi Umno dan Dewan Tertinggi BN akan mengadakan mesyuarat akhir bulan ini bagi memutuskan semua kemungkinan itu.


Tulisan di atas sebenarnya merupakan sedutan daripada laporan dalam Mingguan Malaysia yang aku baca pagi tadi. Pada pendapat aku sebagai salah seorang pengalisis politik bakul sampah, aku mengalu-alukan keputusan tersebut (jika benar-benar terjadi). Aku amat setuju jika BN berbuat demikian kerana sekarang bukan masanya BN asyik melayan kerenah pihak PR. Banyak benda lain yang BN perlu buat selain daripada asyik kalah je. Ada orang berpendapat tindakan PR membazirkan wang rakyat. Aku tidak berapa setuju bab ini. Bagi aku, kalau seseorang sudah terbukti ada kes penyelewengan dan rasuah, wajarlah mereka dilucutkan jawatan oleh pemimpin parti mereka. Biarlah mereka berhujah dan membela diri di di mahkamah. Biarlah wang rakyat habis sedikit untuk PRK, daripada di penghabihkan banyak-banyak dek orang-orang yang tidak amanah ini.

Sebaliknya pihak BN sepatutnya mengkaji untuk turut berbuat demikian terhadap ADUN dan MP mereka yang sudah ada bukti penyelewengan dan dihadapkan ke mahkamah. Kalau ini berjaya dilakukan, sudah tentu akhirnya Malaysia akan memiliki pemimpin yang berintegriti, bersih dari rasuah dan telus. Barulah negara boleh maju.

Sudah tentu orang akan berhujah, nanti banyak PRK terpaksa diadakan, dan akan menelan belanja yang banyak. Emm memamg wujud kemungkinan ini tapi aku masih belum terfikir jalan penyelesaiannya, kecualilah kalau PR pun tidak akan bertanding jika ada PRK. Mungkin pada peringkat awal, masalah ini akan wujud, namun lama-kelamaan ia pasti akan berkurangan. Masing-masing akan merasa lebih bertanggungjawab terhadap amanah yang diberikan.


Monday, April 6, 2009

Pilihan Raya Kecil

Semalam, aku terserempak dengan seorang member yang merupakan orang kuat UMNO. Selepas itu aku diajak makan tengahri di salah sebuah restoran di Bandar Utama. Aku sebenarnya malas nak berbicara tentang politik dengan dia. Bagi aku bercakap dengan pasal politik dia lebih baik bercakap dengan tiang lampu. Dia bukannya seorang yang berfikiran terbuka, walaupun memiliki Ijazah.

Banyak perkara yang dia bangkitkan. Antaranya keyakinan rakyat terhadap pimpinan baru UMNO akan menyebabkan 2 Bukit bakal terlepas kepada BN, sementara Batang Ai akan kekal di tangan BN. Aku tidak tahu dia sengaja mahu memprovoke aku atau memang dia betul-betul yakin terhadap apa yang dihujahkan. Apa yang aku tahu, aku kena berhenti daripada mengeluarkan kata-kata yang boleh menyebabkan dia naik angin, lalu meninggalkan meja makan, seterusnya menyebabkan aku terpaksa mengeluarkan duit untuk membayar makanan. (Kah! Kah!Kah!). So, masa itu aku bawa dia ke cerita lain. Kisah kebun aku yang terbengkalai, kisah nak tukar kereta, dan post mortem subjek-subjek bidang aku yang agak merosot sedikit tahun ini. 40 minit kemudian, selepas dia puas hati bahawa aku sudah natural, kami beredar ke haluan masing-masing.

Esok 7/4/09, para pengundi di tempat-tempat yang berkaitan akan menggunakan hak mereka. Aku fikir penduduk Bkt Gantang danBkt Selambau cukup matang dan bijak belaka. Keputusan yang mereka buat pastinya adalah untuk kebaikan mereka.

Namun jauh di sudut hati aku, aku tak yakin BN akan menang. Hujah aku mudah saja. Aku tengok TV3 dan TV1 macam tak begitu meriah memaparkan sambutan rakyat terhadap BN. Ada sekali tu dalam TV3, aku perasan mereka terinterview awek Indonesia (perkataan Indon tak boleh digunakan...Dato' Seri Rais Yatim marah. Kah! Kah! Kah!) yang turut serta dalam aktiviti gotong royong.

So, aku fikir keputusannya BN kena 1-2 atau 0-3 kot.
Kita tengok result esok.

Saturday, April 4, 2009

Tahniah DS Najib

Kepada rakan-rakan sekalian...
Selamat berkhidmat di bawah kepimpinan Perdana Menteri Malaysia yang baru...Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak.

Monday, March 30, 2009

Beberapa Kebetulan

Cerita 1
Seingat aku, sekitar tahun 1994 dulu, di suatu sudut café kolej Petronas dulu, aku pernah berdebat dengan seorang penyokong kuat Dato Seri Anwar Ibrahim (DSAI) bahawa DSAI akan menghadapi laluan sukar untuk menjawat jawatan PM. Sementara member aku ini terus berkeyakinan bahawa Anwar tetap akan menjadi PM memandang beliau merupakan TPM pada masa tersebut. Hujah aku senang sahaja. Berdasarkan pengalaman berkawan dengan orang UMNO, aku dapati orang-orang UMNO 'totok' sebenarnya tidak begitu sukakan Anwar, memandangkan beliau agak lain daripada orang UMNO yang lain. Lagi pula, beliau mendaki tangga kepimpinan dengan cepat dan agak mudah, lantaran budaya payung yang diamalkan oleh Tun Mahathir.

Tahun 1998, empat tahun selepas itu, ketika aku di Limbang, aku antara orang yang terperanjat sakan apabila DSAI dipecat oleh Tun Mahathir. Walaupun pernah memberi pandangan yang tidak berpihak kepada DSAI namun aku terperanjat dengan cara beliau dimalukan. Nampaknya, analisis aku tu betul. Satu kebetulan.

Cerita 2
Sebelum 8 Mac 2009 (PRU ke 12) yang lalu, aku pernah menyuarakan kepada beberapa orang rakan-rakan (penganalisis politik bakul sampah. Heh3) betapa aku mengharapkan dalam sepanjang aku hidup ini, aku ingin melihat negara ini di perintah oleh Pakatan Rakyat. perkara ini sebenarnya tidak berlaku. PR hanya berjaya mendapat 82 kerusi je (kalau tak silap). BN masih memerintah negara ini. Mungkin PRU ke 13 kot...
Dalam PRU ke 12 juga aku optimistik dan percaya cakap Tun Daim bahawa BN akan kalah di 4 negeri iaitu Perak, Kedah, Selangor dan Pulau Pinang. Hasilnya, cakap Tun Daim memang betul. Pakatan menang di negeri-negeri tersebut. Hasilnya, memang ia menjadi kenyataan.


Aku sebenarnya bukanlah anti BN, atau penyokong kuat parti pembangkang. Apa yang aku mahukan adalah negara ini dipimpin oleh individu atau parti yang berintegriti, telus, berdaya intelek dan pro rakyat. Memang bukan semua pemimpin BN tidak berintegriti tetapi kebanyakan mereka 'dipeti sejukkan' oleh ahli-ahli dalam Mesyuarat Agung. Lalu banyak keputusan yang dibuat oleh kerajaan seolah-olah (persepsi aku le) pro pihak peniaga dan banyak bersifat menganiaya rakyat. Ceritalah bab apa...penswastaan tol, air, elektrik, harga barang, harga kereta...semuanya mendera rakyat. Segala beban terpaksa ditanggung oleh pengguna akhirnya. Mungkin aku silap tentang ini tetapi inilah yang aku rasakan. Sebagai pemerintah, bagi aku, mereka harus melindungi pengguna yang merupakan rakyat terbanyak. Hujah seorang pemimpin, bahawa kerajaan lebih untung dengan menswastakan sesuatu projek kerana tidak perlu menanggung apa-apa kos, sebaliknya menerima pendapatan daripada cukai cukup merimaskan. Persoalannya, jika sesuatu projek diuruskan oleh kerajaan, mengapa tidak boleh untung? Adakah semua kakitangan kerajaan tidak cekap dan malas?

Dan apabila ada pihak mempunyai manifesto perjuangan yang pro rakyat, aku cukup tertarik. Harapan aku agar mereka akan mengotakan apa yang dikata. Di pihak BN, aku juga berharap agar mereka dapat mencari formula untuk membetulkan diri dan perjuangan.

Sebagai rakyat, aku tidak kira siapa yang memerintah. Yang penting kehidupan rakyat mesti aman dan sejahtera. Tanggungjawab kerajaan adalah untuk memelihara kesejahteraan hidup rakyat. Hanya orang yang hilang pedoman akan mula menjadikan slogan 'apa sumbangan anda kepada negara?' sebagai benteng mempertahankan diri. Hakikatnya....

Thursday, March 19, 2009

PTK 2009

Selamat menduduki peperiksaan PTK buat semua rakan-rakan yang terlibat. Ingat, peperiksaan inilah sebenarnya peperiksaan untuk kita. Dalam SPM atau STPM atau PMR, kita memperturunkan ilmu kat murid-murid, dan murid-murid tersebut yang berhadapan dengan peperiksaan tersebut. Kalau mereka dapat A, itu sebenarnya memang hak mereka. Kita dah dapat gaji, dan gaji tu memang dibayar untuk memandaikan mereka.

Namun PTK adalah peperiksaan kita. Kita diuji sama ada kita ni seorang guru yang berilmu, guru yang sedang tidur atau guru sombong bodoh. Kah! Kah! Pada aku kalau guru tu dapat 3,3 kira oklah. Dia seorang yang berilmu. Kalau dapat 4,4 sah dia memang guru hebat (berteori). Tapi kalau dapat kurang daripada itu? Sah, penyakit ujud dah menguasasi dia. Dia rasa dia hebat tapi dia tidak tahu apa kerja dia rupanya... Fikir-fikirkanlah....

Wednesday, March 11, 2009

Antara pengalaman dan Komitmen

Di suatu kursus yang aku hadiri di Tanjung Bidara Beach Resort, Tanjung Keling, Melaka, pada tahun 2007, seorang PPPD yang merasmikan kursus tersebut telah menyentuh perihal gelagat dan sikap guru-guru baru. Guru-guru baru ini dikatakan banyak cengkadak, mengada-gada, itu tak tahu, ini tak tahu, itu tak boleh buat, ini tak boleh buat, tidak kreatif, gagal mengawal kelas dan sebagainya. Aku menoleh ke arah beberapa orang guru baru yang turut menghadiri kursus tersebut. Aku lihat ada antara mereka buat tak tahu saja, malah ada yang tersenyum-senyum, seolah-olah mengiyakan tanggapan PPPD tersebut. Entahlah, mungkin jauh di sudut hati mereka, perasaan bengang dan bengkak membuak-buak.

Sekarang ini aku bertugas di salah sebuah sekolah transit. Aku katakan transit kerana kebanyakan guru tidak lama di sini, ia cuma jadi tempat persinggahan. Bila tiba masanya (setahun, dua tahun atau lima enam tahun) kebanyakan guru-guru di sini akan bertukar, sama ada mengikut suami, atau balik ke kampung atau negeri masing-masing kerana sudah sampai seru. Keadaan ini menyebabkan sekolah aku sentiasa mempunyai guru-guru baru yang ramai. Ini menyebabkan guru-guru yang tak berapa lamapun dah ramai terperasan dia guru lama. Heh! Heh!

Sebenarnya aku pernah melalui situasi sekolah seperti ini. Semasa mula-mula posting di Limbang Sarawak dahulu, situasi sekolah itupun sama seperti di sekolah ini sekarang. Yang berbeza, dulu aku adalah antara orang yang menjadikan sekolah itu transit, sementara sekarang orang lain yang melakukannya.

Bagi aku sama ada sudah lama atau tidak seseorang berkhidmat, ia bukanlah faktor paling penting untuk memastikan sesuatu tugas (terutamanya P&P) dapat dilaksanakan dengan cekap dan berkesan. Bagi aku pengalaman bukan boleh diukur dengan tempoh masa perkhidmatan. Bolehkah seorang guru yang lama, tapi mempunyai daya fikir yang usang, sentiasa menggunakan kaedah, pendekatan dan style yang sama dari mula hingga pencen dikatakan berpengalaman? Tentulah tidak. Ini kerana pengalaman berkait dengan pengetahuan yang diperolehi daripada praktikal @ amalan yang lepas.

“Kalau kita sentiasa mahu belajar, sentiasa mahu berguru dengan orang lama, sentiasa membaca dan kerap membuat refleksi kendiri, kita boleh menjadi guru yang berpengalaman dalam masa tidak sampai 3 tahun. Sebab apa? Tugas guru itu kebanyakannya rutin…sama je setiap tahun.” Nasihat Tok Din (Ustaz Nasarudin - housemate ketika mengajar di Limbang dulu, sekarang di Temerloh) ada benarnya. Memang kalau boleh, semua orang hendak guru yang berpengalaman mengajar. Hal ini kerana ramai percaya pengalaman itu akan membantu guru ‘memudahkan murid akan sesuatu yang sukar’.

Namun begitu, guru baru juga sebenarnya mempunyai kekuatan. Mereka mempunyai senjata lain yang sama kuat kesannya dengan pengalaman iaitu kuasa komitmen. Komitmen yang tinggi memang dituntut dalam menjayakan apa jua perancangan sekolah, jabatan dan kementerian. Tanpa komitmen, kejayaan sukar diraih. Mereka guru baru. Mereka masih muda, masih tidak mempunyai pelbagai tanggungjawab lain (anak-anak, isteri/suami dan penyakit), dan yang penting mereka masih belum banyak pengalaman yang mengecewakan dalam perkhidmatan mereka. Dalam kajian yang dijalankan oleh sebuah NGO pada 2001, berkaitan dengan komitmen guru mendapati pihak yang mempunyai komitmen tertinggi adalah Guru Sandaran Tidak Terlatih (bukan cikgu sebenarpun), diikuti oleh guru baru. (Cis, kajian tersebut memang nak menghina guru-guru lama kot?) Guru lama komitmen kurang? Bukan semua guru lama begitu (jangan kecil hati lak).

Sesungguhnya guru yang ideal perlu ada pengalaman dan komitmen. So, guru lama yang berpengalaman masih perlu mengekalkan komitmen. Sementara guru baru perlu mencari pengalaman dan meningkatkan komitmen.

“Jangan jadi guru hampas yang sudahlah tiada pengalaman, komitmenpun tarak!” Pesan Tok Din yang masih aku ingat.

Monday, February 16, 2009

Sukan

Hari Rabu (18/2/09) ini sekolah aku akan mengadakan Kejohanan Olahraga Peringkat Sekolah. Sebenarnya acara pra kejohanan telahpun berjalan minggu lepas. Pada hari rabu ini, cuma ada acara 100m, 200m dan 4X100m je akan diadakan pada kejohanan tersebut.

Emm diam tak diam, dah 4 kali aku terlibat dalam kejohanan sukan olahraga di sekolah ini. Phuih, lama lah juga. Emm dulu masa kat sekolah kedua aku, atlit sekolah aku digeruni dalam acara jarak jauh. Kat sini? Entahlah, sukar nak melihat kekuatan itu di mana-mana acara.

Dalam bidang olahraga, aku rasa sekolah aku ni kurang menonjol. Di sini, dulu sekolah aku ni digeruni dalam pertandingan pantun, bola tampar dan bola baling. Sekarang, semua sudah berbalam-balam. Dah mula kecundang ke tangan pasukan lain. Emm kadang-kadang terfikir juga, betulkah hebat sangat cikgu-cikgu kat sini dulu? So, apabila seorang demi seorang dah tranfer, maka pencapaian pasukan sekolah turut merosot. Dari segi pencapaian yang diperolehi tahun lalu, aku fikir aku kena akui perkara tersebut. Namun aku tidak fikir, hanya depa saja yang hebat. Cikgu-cikgu yang ada sekarang ni pun hebat sebenarnya. Cuma masa yang belum membuktikannya.

So, ayuh cikgu-cikgu semua. Sekarang adalah masa kita untuk membuktikan kita hebat daripada mereka.....

Thursday, February 12, 2009

Selamat Menduduki UPK1

Kepada semua murid SMKPL, selamat menduduki UPK1. nampaknya tahun ini anda diuji dengan agak hebat. Dalam kesibukan anda menyertai acara-acara akhir Kejohanan Olahraga Sekolah 2009 pada waktu petang, anda turut menduduki peperiksaan pada sebelah pagi. Bagi pelajar yang terlibat, harapan saya agar anda dapat membahagikan masa sebaiknya. Bagi pelajar yang tidak terlibat, anda tiada alasan sekiranya gagal menjawab soalan dengan baik. Selamat berjaya!

Wednesday, February 11, 2009

SALAM PENGENALAN

Selamat datang ke dunia cyber. Dunia serba memungkinkan. Anda mahukan yang baik, anda dapat yang baik. Anda mahukan yang jahat, maka anda dapat yang jahat.

Berjumpa lagi.