Wednesday, March 11, 2009

Antara pengalaman dan Komitmen

Di suatu kursus yang aku hadiri di Tanjung Bidara Beach Resort, Tanjung Keling, Melaka, pada tahun 2007, seorang PPPD yang merasmikan kursus tersebut telah menyentuh perihal gelagat dan sikap guru-guru baru. Guru-guru baru ini dikatakan banyak cengkadak, mengada-gada, itu tak tahu, ini tak tahu, itu tak boleh buat, ini tak boleh buat, tidak kreatif, gagal mengawal kelas dan sebagainya. Aku menoleh ke arah beberapa orang guru baru yang turut menghadiri kursus tersebut. Aku lihat ada antara mereka buat tak tahu saja, malah ada yang tersenyum-senyum, seolah-olah mengiyakan tanggapan PPPD tersebut. Entahlah, mungkin jauh di sudut hati mereka, perasaan bengang dan bengkak membuak-buak.

Sekarang ini aku bertugas di salah sebuah sekolah transit. Aku katakan transit kerana kebanyakan guru tidak lama di sini, ia cuma jadi tempat persinggahan. Bila tiba masanya (setahun, dua tahun atau lima enam tahun) kebanyakan guru-guru di sini akan bertukar, sama ada mengikut suami, atau balik ke kampung atau negeri masing-masing kerana sudah sampai seru. Keadaan ini menyebabkan sekolah aku sentiasa mempunyai guru-guru baru yang ramai. Ini menyebabkan guru-guru yang tak berapa lamapun dah ramai terperasan dia guru lama. Heh! Heh!

Sebenarnya aku pernah melalui situasi sekolah seperti ini. Semasa mula-mula posting di Limbang Sarawak dahulu, situasi sekolah itupun sama seperti di sekolah ini sekarang. Yang berbeza, dulu aku adalah antara orang yang menjadikan sekolah itu transit, sementara sekarang orang lain yang melakukannya.

Bagi aku sama ada sudah lama atau tidak seseorang berkhidmat, ia bukanlah faktor paling penting untuk memastikan sesuatu tugas (terutamanya P&P) dapat dilaksanakan dengan cekap dan berkesan. Bagi aku pengalaman bukan boleh diukur dengan tempoh masa perkhidmatan. Bolehkah seorang guru yang lama, tapi mempunyai daya fikir yang usang, sentiasa menggunakan kaedah, pendekatan dan style yang sama dari mula hingga pencen dikatakan berpengalaman? Tentulah tidak. Ini kerana pengalaman berkait dengan pengetahuan yang diperolehi daripada praktikal @ amalan yang lepas.

“Kalau kita sentiasa mahu belajar, sentiasa mahu berguru dengan orang lama, sentiasa membaca dan kerap membuat refleksi kendiri, kita boleh menjadi guru yang berpengalaman dalam masa tidak sampai 3 tahun. Sebab apa? Tugas guru itu kebanyakannya rutin…sama je setiap tahun.” Nasihat Tok Din (Ustaz Nasarudin - housemate ketika mengajar di Limbang dulu, sekarang di Temerloh) ada benarnya. Memang kalau boleh, semua orang hendak guru yang berpengalaman mengajar. Hal ini kerana ramai percaya pengalaman itu akan membantu guru ‘memudahkan murid akan sesuatu yang sukar’.

Namun begitu, guru baru juga sebenarnya mempunyai kekuatan. Mereka mempunyai senjata lain yang sama kuat kesannya dengan pengalaman iaitu kuasa komitmen. Komitmen yang tinggi memang dituntut dalam menjayakan apa jua perancangan sekolah, jabatan dan kementerian. Tanpa komitmen, kejayaan sukar diraih. Mereka guru baru. Mereka masih muda, masih tidak mempunyai pelbagai tanggungjawab lain (anak-anak, isteri/suami dan penyakit), dan yang penting mereka masih belum banyak pengalaman yang mengecewakan dalam perkhidmatan mereka. Dalam kajian yang dijalankan oleh sebuah NGO pada 2001, berkaitan dengan komitmen guru mendapati pihak yang mempunyai komitmen tertinggi adalah Guru Sandaran Tidak Terlatih (bukan cikgu sebenarpun), diikuti oleh guru baru. (Cis, kajian tersebut memang nak menghina guru-guru lama kot?) Guru lama komitmen kurang? Bukan semua guru lama begitu (jangan kecil hati lak).

Sesungguhnya guru yang ideal perlu ada pengalaman dan komitmen. So, guru lama yang berpengalaman masih perlu mengekalkan komitmen. Sementara guru baru perlu mencari pengalaman dan meningkatkan komitmen.

“Jangan jadi guru hampas yang sudahlah tiada pengalaman, komitmenpun tarak!” Pesan Tok Din yang masih aku ingat.

No comments:

Post a Comment