Monday, August 31, 2009

Merdeka! Merdeka! Meerdekaaaa!

Bagi aku seseorang yang merdeka adalah individu yang sekurang-kurangnya mempunyai ciri-ciri berikut;

1. Mempunyai jati diri yang kuat - Merdekakah kita apabila berjaya mengusir penjajah dari bumi Malaysia, walhasil dalam masa yang sama kita masih mengagung-agungkan budaya, gaya hidup, fikiran dan nilai-nilai masyarakat mereka??

2. Hidup selesa - Merdekakah kita apabila berjaya membentuk pemerintahan sendiri, walhal ekonomi masih dikuasai oleh orang lain, dan kita masih hidup dalam paras kemiskinan (atau atas paras tapi masih susah serba serbi untuk hidup)??

3. Hidup selamat - Merdekakah kita apabila sering dilaungkan bahawa negara dalam keadaan aman dan sejahtera, hakikatnya kadar jenayah meningkat, rasuah berleluasa dan penyakit masyarakat terus membarah?

4. Hidup bermaruah - Merdekakah kita apabila sering diperbodohkan, dieksploitasi, dimanipulate, diperkotak-katikkan, dan dianiaya oleh orang lain sesuka hati, tak kira siapa - Menteri, wakil rakyat, ketua kampung, kakitangan kerajaan atau peniaga?

5. Hidup tenang - Merdekakah kita jika masih dikelilingi hutang - dari hutang rumah (yang besar) hingga ke hutang peribadi (yang kecil)?

6. Bebas bertindak (seperti berfikir, bersuara dan membuat keputusan) dalam had yang dibenarkan agama - Apakah merdeka maknanya kita boleh berbuat apa sahaja, hatta perkara-perkara yang boleh membinasakan diri, masyarakat dan negara?


Selamat merayakan Hari Kemerdekaan Malaysia kepada semua warga negara. Semoga masing-masing dapat menghayati makna kemerdekaan yang sebenar.

No comments:

Post a Comment