Monday, April 27, 2009

Transfer oh Transfer!

Sekarang ini beberapa orang guru di tempat di tempat aku mengajar sibuk bercerita tentang permohonan pertukaran sekolah. Emm lumrah alam.

Aku teringat ketika berkudapan bersama-sama Tuan Pegawai Pelajaran Daerah Segamat (yang turut disertai oleh Pengetua, PK1 dan PK Petang) sempena Latihan Dalam Perkhidmatan 2 : Integriti dan Budaya Kerja Cemerlang di sekolah aku tempohari, Tuan PPD sempat bertanyakan berapa lama aku sudah berkhidmat di sekolah ini. Oleh kerana Tuan Pengetua dan GPK1 ada di situ, aku katakan “masuk tahun ke 4 tuan.” Kalau mereka tiada, nescaya mulut aku yang peramah ini akan katakan “Sudah masuk tahun ke 4 tuan. So, bila saya boleh bertukar ke sekolah di luar sana.” Kah! Kah! Sebenarnya tuan PPD ini memang aku kenali kerana dia bekas Pengetua aku di SMKBK [2002-2005] dulu. Ketika mendapat tawaran sebagai Ketua Bidang (atau Ketua Badang – menurut En. Azizul Rahman, Guru Cemerlang Gred Khas C, Batu Pahat) di sekolah ini, beliau yang menyuruh aku ke Pejabat Pelajaran Daerah untuk mengambil surat tawaran tersebut. Selepas mendapat surat tawaran dan menerima nasihat (supaya cepat-cepat melapor diri) dari PPPD (Menengah), aku tidak terus melapor diri. Bahkan, aku meminta pandangan dan nasihat daripada dia. Selepas itu, barulah aku meminta pandangan daripada rakan-rakan yang rapat – Daud, Wahid, Hj Shikin, Amir, Sarip, Hj Moin, Rosman dan Mahadir. (Perbincangan dengan keluarga – bila aku balik sekolah le) Semuanya memberi nasihat positif – "kau pergilah, itu lebih baik untuk future kau". Semua dari mereka macam pakat-pakat menghalau aku dari sekolah itu. Kah! Kah! Kah! Antara nasihat PPD yang aku ingat adalah supaya aku sentiasa akur kepada keputusan mesyuarat pentadbiran, dan jangan cakap lain dalam mesyuarat pentadbiran, dan cakap lain di belakang. Istilahnya menikam rakan-rakan pentadbir di belakang. Emm setakat ini aku fikir aku masih ikut nasihat tersebut.

Emm diam tak diam, sudah masuk tahun ke 4 aku berkhidmat di sekolah ini. Dari rekod servis aku, aku berkhidmat di SMKSPL, Limbang cuma 4 tahun (1998-2001), di SMKBK, Segamat (2002-2005), juga 4 tahun. Di sekolah ini? 4 tahun juga kot..? Ceh, ceh, ceh!

Sebenarnya nama sekolah tempat aku mengajar sekarang ini sering aku dan member-member yang sealiran di sekolah no 2 dulu sebut-sebutkan. Bukan bertujuan untuk menghina, tetapi lebih kepada simbolik 'kau akan susah', lantaran kedudukannya yang agak jauh dari rumah.

“Dalam mesyuarat tadi kau jangan laser sangat, tak pasal kau ditransfer ke P***** nanti". Ketawa.”

Atau

“Tahniah, awak dilantik jadi GPK (atau GKMP), tapi kat P***** le.” Dan ketawa.
[ayat ini sering diucapkan sesama geng kami – apabila ada di antara guru di sekolah itu naik pangkat ke sekolah lain – memperli kawan-kawan le]

Dan tidak sangka, apa yang kami guraukan akhirnya menjadi realiti kepadaku. Entahlah, mungkin ada member-member yang menganggap aku gila kuasa apabila sanggup menerima tawaran tersebut ke sekolah yang lokasinya agak jauh ke ‘dalam’, sedangkan sekolah lama aku sekitar 5 km @ 5 minit saja dari rumah. Aku juga terpaksa menanggung kos yang lebih berbanding dengan jumlah elaun tanggungjawab yang tidak seberapa. Dan yang paling phobia, setiap pagi (khususnya) aku sebenarnya mudah terdedah kepada risiko kemalangan kerana jalan yang agak sempit dan bengkang-bengkok, sesetengah pemandu kereta yang biol - tak mahu memberi laluan walaupun mereka memandu lembap macam kura-kura, atau penunggang motosikal yang lebih sayangkan tayar motor dari terkena tahi lembu, berbanding nyawa mereka sendiri.

Bagi aku, banyak faktor mengapa aku ke sini. Pertama, aku ingin mencari tempat kerja yang aman damai. Di sekolah ini, aku akan mengajar murid 100% Melayu - mungkin kurang stress. Kedua, aku ingin bebas dari persaingan yang sengit. Di sekolah lama nak mengajar subjek opsyenpun kena promote, kena jadi pemeriksa kertas dsb. Ketiga, aku fikir aku mesti bertukar sekolah kerana kepuasan kerja aku telah menurun disebabkan hal-hal berkaitan dengan PTK. Keempat, aku sudah lama terputus hubungan dengan generasi baru kampungku dan aku kena ke sekolah ini untuk membaiki hubungan. Kelima, di sekolah baru aku nantipun ada tingkatan 6. So, lebih kurang sama dengan sekolah ke 2 itu. Keenam, untuk tujuan peningkatan kerjaya. Aku mula terfikir menjadi kepala kepada ayam lebih baik daripada menjadi ekor kepada seekor lembu. Walaupun bukan kepala betul-betul (cuma sipi-sipi je) tapi sekurang-kurangnya aku turut terlibat dalam proses pembuatan keputusan.

So, aku fikir sekarang ini aku masih enjoy di sekolah ini. Aku mempunyai seorang ketua yang sentiasa cool, sabar dan sentiasa memberi peluang kepada orang bawahannya menunjukkan kebolehan. Aku mempunyai rakan-rakan yang boleh berkongsi cerita, minat dan pengalaman. Aku juga mempunyai anak-anak buah yang mudah diurus, yang walaupun tidak perfect dalam kerja, sekurang-kurangnya tidak menunjukkan besar kepala. Dan yang penting, aku masih malu nak mengisi borang tukar.

Adioss

3 comments: